Saturday, May 10, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Unsur ‘kehijauan’ jadi keutamaan dalam fesyen

    BERKEMUNGKINAN ia mengambil masa yang lama namun penggunaan eko-fesyen bukan lagi satu mimpi.

    Baru-baru ini beberapa jenama fesyen terkemuka dunia telah mencipta jaket biker yang diperbuat daripada daun nanas dan kulitnya disamak dengan ekstrak zaitun serta tidak dicemari dengan bahan-bahan kimia, kata pakar fesyen.

    Kebanyakan jenama sama ada daripada pereka Avant Garde muda kepada beberapa buah jenama besar berlumba-lumba untuk melayari trend baharu itu dengan melatih tenaga pereka baharu dalam menggunakan bahan-bahan yang telah dikitar semula seperti botol plastik dan kemudian dijual dengan harga berjuta-juta ringgit.

    Pada tahun lepas sahaja, Adidas telah menjual satu juta Parley yang diperbuat dari plastik yang dibuang di laut dan pengeluar barangan sukan Jerman itu telah melancarkan pelbagai jenis produk pakaian yang diperbuat dari barangan yang dikitar semula.

    Baru-baru ini, Yolanda Zobel, pereka baharu dalam jenama futuristik dari Perancis, Courreges telah melakukan sesuatu yang tidak dapat difikirkan dan menyatakan bahawa dia akan menggunakan pakaian dan kain berkilat yang pernah dijual dan terkenal semasa era tahun 1960an.

    Selepas beberapa koleksi dipamerkan di kapsul bernama ‘Fin de Plastique’ (pengakhiran penggunaan plastik), pengeluar dari Jerman itu akan terus mencuba mendedahkan versi yang lebih bertahan atau fabrik berkilat yang boleh dikitar semula.

    “Dunia tidak akan bertambah baik jika kami tidak melakukan tindakan yang sewajarnya pada hari ini,” kata Zobel kepada media AFP.

    “Pandangan terhadap eko-fesyen telah berubah sepenuhnya dalam beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Marina Coutelan, yang membantu menjalankan pertunjukan pada pameran perdagangan yang diadakan dua kali setahun dan sangat berpengaruh di Paris di mana para penggerak serta penggemar industri fesyen bersatu untuk mencari bahan dan idea yang baharu.

    Walau bagaimanapun, fesyen masih dianggap sebagai industri kedua yang tercemar di dunia. – AFP

    Kebanyakan jenama sama ada dari pereka Avant Garde muda kepada beberapa buah jenama besar berlumba-lumba untuk melayari trend baharu itu dengan melatih tenaga pereka baharu dalam menggunakan bahan-bahan yang telah dikitar semula. – AFP

    Satu perubahan

    “Bagi mereka yang dilahirkan sekitar tahun 1980an sehingga 2000an akan dapat mengimbas kembali perubahan dalam industri fesyen, sekarang kami dapat menyaksikan terdapat banyak trend dalam pengeluaran produk dari bahan-bahan yang dapat bertahan dan mapan kerana kami membesar bersama idea di mana kita perlu bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” kata Coutelan kepada AFP.

    Berikutan itu, bintang fesyen, Rushemy Botter dan Lisi Herrebrugh, pasangan dari Belanda telah berjaya mengambil alih rumah fesyen Nina Ricci.

    “Fesyen yang mapan sering sahaja dibicarakan, sekarang ia merupakan sesuatu yang boleh kita lihat,” kata Herrebrugh yang berusia 28 tahun kepada media.

    Sebuah jenama yang dikenali sebagai Botter di bawah rumah fesyen itu turut menghasilkan topi, selendang dan jaket dengan menggunakan bahan-bahan plastik yang telah dibuang di laut dan perekanya, Botter dilahirkan di Pulau Curacao, Caribbean.

    Rangkaian busana jalanan di seluruh dunia sentiasa me-nerima kesan yang cepat berdasarkan perkembangan dunia fesyen namun berbeza dengan jenama mewah, di mana mereka masih memikirkan semula corak perkembangan fesyen itu, kata Coutelan.

    Coutelan merujuk kepada syarikat gergasi kering yang memiliki beberapa jenama terkenal dari Perancis seperti Gucci, Saint Laurent, Balenciaga dan Alexander McQueen antara jenama yang kini meneroka perintis kelestarian.

    Pencemaran kedua terbesar dunia

    “Usaha tersebut akan dapat mengurangkan lagi kesan terhadap alam sekitar dan diharap akan dapat mengurangkan sekitar 40 peratus pencemaran menjelang tahun 2025,” kata Coutelan.

    Walau bagaimanapun, fesyen masih dianggap sebagai industri kedua yang tercemar di dunia. Kering baru-baru ini memiliki sekitar 50 peratus hak pemilikan jenama Stella McCartney, jenama yang mementingkan alam sekitar dan tidak mahu menggunakan bahan-bahan dari bulu dan juga kulit.

    Pereka British itu telah menggunakan semula bahan-bahan yang terpakai dan poliester yang dikitar semula serta diperbuat daripada botol air plastik. Kebanyakan pereka itu berhenti untuk menggunakan nilon dalam masa dua tahun dan poliester baharu menjelang tahun 2025.

    Kehadirannya semasa Minggu Fesyen Paris baru-baru ini telah mendedahkan bahawa ‘Green is the new black’ dan menampilkan kartun Minnie The Minx untuk mendedahkan nilai fabrik lembut bermutu tinggi yang telah diperbaharui.

    McCartney berkata kepada AFP bahawa dia ingin pergi lebih jauh dan segera untuk mencapai matlamat ini, namun teknologi yang diperlukan masih belum tersedia untuk dilaksanakan. Beberapa kempen mengatakan bahawa terdapat banyak cara untuk membuat pakaian yang mapan.

    Pereka fesyen dari Perancis, Marine Serre terkenal sebagai seorang aktivis alam sekitar dan telah menukar cadar katil yang lama menjadi sebuah busana malam yang menarik dan dipertunjukkan kepada orang ramai semasa musim pertunjukan fesyen di Paris baru-baru ini.

    Sementara itu, Marie-Eve Lecavalier dari Kanada telah berjaya mencipta nama dengan menghasilkan pakaian yang disulam setelah menggunakan bahan-bahan yang tidak digunakan dan terbuang oleh jenama-jenama mewah.

    “Ia memerlukan tugasan yang berat akan tetapi keputusannya sangat hebat. Di kawasan utara Amerika, penduduknya tidak sukakan pembaziran, lantas kita perlu mencari jalan lain,” katanya kepada AFP.

    Hugo Boss telah memulakan eko-fesyen daripada bahan-bahan yang dikitar semula dan berjaya menghasilkan tas tangan Lancel serta dipasarkan oleh firma British, Ananas Anam yang bekerja sama dengan koperasi petani di Filipina.

    Pengeluar dari Jerman, Wet Green telah mengembangkan satu revolusi yang disebut sebagai Olivenleder, kulit ‘biodegradable’ yang disamak dengan agen yang dihasilkan dari serat zaitun.

    “Ia selamat digunakan malah anda juga boleh memakannya,” kata jurucakap Thomas Lamparter.

    “Dunia fesyen masih berada di arus permulaan namun kadar inovasi menyebabkan trend ini tidak dapat ditarik kembali,” kata Chantal Malingrey, dari Premiere kepada media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda