Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – UOB Asset Management Brunei (UOBAM Brunei) dan Bank UOB (Cawangan Brunei) telah menyumbangkan bungkusan makanan dan keperluan kepada golongan keluarga yang kurang bernasib baik dalam komuniti setempat, melalui inisiatif tempatan, Foodlife, hari ini.
Kegiatan sumbangan amal buat kali kedua dengan kerjasama antara UOBAM Brunei dan Foodlife itu antaranya menumpukan golongan keluarga terpilih yang menetap di Mukim Gadong A dan Gadong B.
Sumbangan termasuk keperluan asasi seperti minyak masak, beras wangi, makanan dalam tin, telur, susu formula dan sebagainya.
Pengurus Besar UOBAM Brunei, Awang Kamal bin Haji Muhammad berkata, sebagai menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) dalam Zero Hunger, Responsible Consumption and Production, mereka begitu komited ke arah perjuangan menamatkan isu kelaparan dan memastikan keselamatan makanan.
“Ia adalah satu keistimewaan untuk bekerjasama dengan perusahaan sosial tempatan seperti Foodlife, bersama-sama Bank UOB, dalam aktiviti bermakna ini untuk membantu golongan yang memerlukan,” ujarnya.
Foodlife ialah inisiatif tempatan yang telah bermula pada Mac 2020 untuk menyokong usaha negara dalam membantu masyarakat kurang berkemampuan di Negara Brunei Darussalam.
Ia bertujuan untuk melengkapkan program sedia ada oleh kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk membantu golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dan memerlukan dengan menyediakan keperluan.
Foodlife bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin akar umbi, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan hospital dalam mengenal pasti keluarga melalui rujukan, untuk sentiasa memberikan mereka bekalan makanan dan keperluan lain.