PHNOM PENH, 15 MEI – Petani di seluruh Asia Tenggara terus meraikan upacara membajak tradisional yang menandakan permulaan musim baharu menanam padi apabila musim hujan tiba.
Banyak negara agraria termasuk Kemboja, Myanmar, Thailand dan Vietnam menyambut upacara ini dalam suasana penuh perayaan, lazimnya pada bulan Mei. Hari bersejarah ini turut menghargai sumbangan masyarakat tani kepada ekonomi.
Secara tradisinya dikenali sebagai Pithi Chrat Pheah Neang Korl , upacara diraja ini disambut secara rasmi di Kemboja hari ini dan diisytiharkan sebagai cuti umum kebangsaan untuk menandakan kepentingannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persekutuan Petani Kemboja, Sok Sotha berkata masyarakat petani menghormati kepercayaan tradisional sejak turun-temurun, termasuklah Upacara Membajak Diraja.
“Upacara Membajak Diraja kekal sebagai simbol perhubungan antara Istana Diraja, Kerajaan Diraja Kemboja, para petani, komuniti pertanian dan rakyat secara umum.
“Lebih-lebih lagi, masih wujud hubungan rapat antara rakyat, kepercayaan tradisional dan alam semula jadi,” kata Sotha kepada Bernama.
Upacara tradisi itu diserikan dengan dua ekor lembu diraja yang dihias indah dilepaskan untuk memilih dan memakan sajian yang disediakan seperti beras, rumput, bijan, jagung, kacang dan minuman seperti air dan wain. – Bernama
