Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 3 JULAI – Beberapa upacara menaikkan bendera telah diadakan di seluruh Daerah Belait bagi memperingati Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79.
Satu majlis seumpamanya telah diadakan di Balai Raya Kampung Sungai Teraban pada 2 Julai yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung Sungai Teraban.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penghulu Mukim Kuala Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin.
Majlis menyaksikan Ketua Kampung Sungai Teraban dan pengerusi majlis, Haji Zaini bin Haji Kaderi menyertai Penghulu Mukim Kuala Belait untuk menyerahkan bendera negara kepada pembawa bendera untuk dikibarkan sambil diiringi nyanyian lagu kebangsaan.
Turut hadir dalam majlis ini ialah ketua-ketua kampung dari seluruh Mukim Kuala Belait.
Sementara itu, majlis serupa turut diadakan di Dewan Bandaran Kuala Belait dan Seria Cawangan Seria oleh Majlis Perundingan Mukim Seria hari ini, di mana bendera kebangsaan dikibarkan oleh penduduk kampung bersama penghulu mukim dan ketua kampung mereka dari seluruh Mukim Seria.



