Friday, April 18, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Upacara menaikkan bendera diteruskan

    Oleh Yusrin Junaidi, Daniel Lim & Salawati Haji Yahya –
     
    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Dengan bendera besar berkibar megah di ibu negara, pelbagai pihak di negara ini turut mengadakan upacara mengibarkan bendera dalam sama-sama menyemarakkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-40 (HK40) Negara Brunei Darussalam yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
     
    Universiti Brunei Darussalam (UBD) adalah antara yang mengadakan upacara menaikkan bendera kebangsaan, hari ini, yang berlangsung di hadapan bangunan Dewan Canselor, UBD.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle yang menyerahkan bendera kebangsaan kepada ahli-ahli Platun Kadet Tentera UBD untuk dinaikkan dan dikibarkan.
     
    Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) turut mengadakan upacara serupa melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Unit Kokurikulum, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB).
     
    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang diadakan di kawasan letak kereta zon A, UNISSA itu ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.
     
    Upacara pengibaran bendera yang dilakukan oleh Platun Kadet Tentera UBD. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI, DANIEL LIM & SALAWATI HAJI YAHYA
    Awang Muhammad Shamry menyerahkan bendera kecil kepada wakil pelajar PTEB di Daerah Belait. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI, DANIEL LIM & SALAWATI HAJI YAHYA
    Upacara menaikkan bendera di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI, DANIEL LIM & SALAWATI HAJI YAHYA
    PPNBD juga tidak ketinggalan mengadakan upacara seumpamanya di Ibu Pejabat PPNBD. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI, DANIEL LIM & SALAWATI HAJI YAHYA
    Dr Haji Norarfan menyerahkan bendera kepada Awang Muhammad Azfarizul Faqhri. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI, DANIEL LIM & SALAWATI HAJI YAHYA
    Persembahan koir dari pelajar PTEB, Daerah Belait. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI, DANIEL LIM & SALAWATI HAJI YAHYA
    Majlis menyaksikan perbarisan lalu terdiri daripada pasukan berunifom UNISSA iaitu pasukan kadet tentera, kadet polis, kadet bomba, pasukan Pengakap Kelana 1102 dan Pasukan Bulan Sabit Merah.
     
    Sebelum upacara menaikkan bendera, Dr Haji Norarfan memeriksa barisan pasukan berunifom dan seterusnya menyerahkan bendera kebangsaan kepada ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA, Awang Muhammad Azfarizul Faqhri bin Azaman selaku ketua pasukan perbarisan dan merupakan penerima Anugerah Baden-Powell.
     
    Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) juga mengadakan upacara seumpamanya di ibu pejabatnya di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas
     
    Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Junaidi bin Haji Hussin dengan upacara menaikkan bendera disempurnakan oleh ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA bersama iringan nyanyian lagu kebangsaan.
     
    Sementara itu, majlis serupa telah diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam anjuran Majlis Perundingan Mukim Kuala Belait, Majlis Perundingan Kampung Pekan Kuala Belait dan ahli-ahli jawatankuasa takmir masjid berkenaan.
     
    Hadir pada majlis itu ialah Penghulu Mukim Belait, Haji Abdul Afiq bin Zainuddin yang menyampaikan bendera kebangsaan kepada ahli-ahli Persatuan Pengakap Daerah Belait untuk dikibarkan.
     
    Dalam pada itu, kelmarin, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum dengan kerjasama Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, telah mengagihkan bendera kecil meja untuk pelajar sekolah rendah, menengah, kolej, sekolah Arab dan agama.
     
    Di Daerah Belait, majlis pengagihan telah diadakan di Pusat Tingkatan Enam Belait (PTEB) di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat) di Kementerian Pendidikan, Profesor Dr Noor Azam bin Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman bersama pegawai-pegawai kanan kementerian berkenaan.
     
    Hadir mengalu-alukan rombongan yang diketuai tetamu kehormat ke sekolah itu ialah Pemangku Pengetua PTEB, Awang Muhammad Shamry bin Haji Mohd Sani.
     
    Lapan orang pelajar menerima bendera kecil berkenaan yang mewakili kelas dari Pra-U2 Sains 1 hingga Sains 6, serta Kemanusiaan 1 dan 2; yang terdiri daripada lebih 157 orang pelajar.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda