Oleh Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Dengan berkibarnya bendera besar Negara Brunei Darussalam di ibu negara bagi memperingati Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-41 yang kurang dari seminggu sahaja lagi, pelbagai pihak di negara ini telah mengadakan upacara menaikkan bendera bagi menyemarakkan lagi sambutan berkenaan.
Hari ini, Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan untuk mengadakan upacara menaikkan bendera negara di hadapan bangunan Ibu Pejabat PPNBD.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas. Turut hadir sama ialah, Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Junaidi bin Haji Hussin bersama ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, penolong-penolong pesuruhjaya pengakap, pemimpin-pemimpin pengakap, serta ahli-ahli pengakap muda dan pengakap remaja serta pengakap kelana. Upacara menaikkan bendera disempurnakan oleh ahli-ahli pengakap dengan iringan nyanyian lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan.
Kelmarin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa telah mengadakan upacara seumpamanya di Kawasan Letak Kereta Zon A, UNISSA.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir sama ialah timbalan penolong rektor, penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, pegawai-pegawai, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.
Majlis turut diserikan dengan upacara perbarisan lalu terdiri daripada pasukan berunifom UNISSA; kadet tentera, pasukan kadet polis, pasukan kadet bomba, Pasukan Pengakap Kelana 1102 dan pasukan bulan sabit merah.
Sebelum upacara menaikkan bendera, Rektor UNISSA menyerahkan bendera kebangsaan kepada Sarjan Awang Khairul Hafizhan bin Kamis selaku ketua kawalan perbarisan dan juga merupakan ahli Pasukan Bulan Sabit Merah, UNISSA.
Seterusnya upacara menaikkan bendera diiringi dengan lagu Kebangsaan Allah Peliharakan Sultan oleh warga UNISSA dan ditutup dengan bacaan doa yang diketuai oleh ahli Pasukan Kadet Polis, Awang Mohammad Nabil Iman bin Osmanita.
Turut mengadakan upacara berkenaan kelmarin adalah Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di hadapan Bangunan Pentadbiran, KUPU SB.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Raes KUPU SB, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani. Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama, pegawai-pegawai dan kakitangan, para pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.
Upacara menaikkan bendera telah disempurnakan oleh Kadet Tentera KUPU SB dengan iringan lagu kebangsaan sebelum disusuli dengan laungan takbir ‘Allahu Akbar’ sebanyak tiga kali yang dipimpin oleh Raes KUPU SB.
Majlis turut diserikan dengan upacara perbarisan lalu yang terdiri daripada pembawa bendera besar, pasukan beruniform, Majlis Perwakilan Pelajar, persatuan pelajar dan mahasiswa-mahasiswi Tahun 1 KUPU SB dan diakhiri dengan bacaan doa.
Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkurong juga turut mengadakan upacara itu di perkarangan Dewan Kemasyarakatan Mukim Sengkurong, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga selaku Ketua Kampung Putat, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed.
Turut hadir ialah Penghulu Mukim Sengkurong, Dr Haji Abdullah Hanif bin OKMD Haji Saman; Pemangku Ketua Kampung Segkurong B, Awang Abdul Razak bin Haji Ismail serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi MPK Sengkurong B dan ahli-ahli Biro Wanita MPK Sengkurong B.
Pada majlis berkenaan telah menyaksikan sesi penyerahan bendera kebangsaan negara daripada tetamu kehormat kepada Awang Johari bin Haji Lamit selaku ketua pasukan bagi menaikkan bendera.
Lagu kebangsaan dan juga lagu-lagu patriotik daripada penuntut-penuntut Sekolah Menengah Sayyidina Husain, Jerudong turut menghiasi suasana semasa berlangsungnya sesi menaikkan bendera pada majlis tersebut.
Dengan adanya upacara-upacara menaikkan bendera berkenaan diharap akan dapat memberi kesedaran kepada penduduk kampung agar sama-sama menaikkan bendera negara bagi memperingati dan memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.