Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar serahan Kementerian Pertahanan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) kini mempunyai pemerintah baharu dengan majlis serah terima tugas yang diadakan di Dewan Pahlawan, Berakas Garison, hari ini.
Majlis menyaksikan penyerahan tugas daripada mantan Pemerintah TDDB, Mejar Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Haszaimi bin Bol Hassan kepada pemerintah TDDB baru, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.
Majlis tersebut dihadiri oleh timbalan pemerintah TDDB, para pengarah Jabatanarah, pegawai kanan, pegawai dan anggota TDDB. Turut hadir secara dalam talian ialah para pegawai dan anggota dari semua unit TDDB termasuk yang bertugas di luar negara dan terlibat dalam misi keamanan.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diikuti dengan ucapan daripada mantan pemerintah TDDB yang merakamkan penghargaan atas sokongan dan usaha yang berterusan daripada semua lapisan anggota TDDB semasa beliau memegang jawatan sebagai dan menzahirkan rasa bangga dan berpuas hati dengan pencapaian TDDB dalam setiap aspek terutamanya kecekalan dan semangat berpasukan yang teguh khususnya dalam menangani pandemik COVID-19.
Beliau turut melahirkan harapan agar TDDB akan terus kekal utuh dan wibawa dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang diberikan di bawah tampuk pemerintahan yang baru dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pemerintah TDDB yang baharu serta mendoakan agar beliau sentiasa dikurniakan petunjuk dan pandangan daripada Allah SWT dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang baru.

Majlis diteruskan lagi dengan penandatanganan Sijil Serah Terima Tugas Pemerintah TDDB serta penyerahan Tongkat Kepimpinan Pemerintah TDDB yang melambangkan penyerahan tugas sebagai pemerintah TDDB secara rasmi.
Kemudian, Brigedier Jeneral Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak turut menyampaikan ucapan perasmian sebagai pemerintah TDDB ke-12.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan pemerintah TDDB atas kepimpinan beliau yang bijaksana dalam menerajui TDDB semenjak 1 Ogos 2020.
Beliau menekankan bahawa kerjasama yang sedia ada memberikan beliau keyakinan tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab dan menekankan komitmen yang menyeluruh dalam mencapai visi dan misi TDDB.
Beliau seterusnya memperingatkan semua peringkat anggota untuk mempertahankan ketaatsetiaan, disiplin, kesiapsiagaan dan sekuriti organisasi dengan kredibiliti dan kepimpinan yang sedia ada.
Majlis diteruskan dengan jamuan di Mes Pegawai Berakas Garison dan diakhiri dengan bacaan Doa Penutup, bergambar ramai serta penandatanganan lembaran kenangan oleh mantan pemerintah TDDB dan pemerintah TDDB yang baharu.