BANGKOK, 26 OKT – Upacara pengebumian selama setahun bagi bekas permaisuri Thailand, Sirikit, bermula hari ini dengan para penyokong diraja berhimpun bagi memberi penghormatan ketika perarakan membawa jasad baginda ke Istana Diraja Bangkok untuk disemadikan.
Keluarga diraja Thailand sangat dihormati, dianggap oleh ramai rakyat Thailand sebagai tokoh separa dewa, disanjung dalam liputan media dan dihiasi potret keemasan yang digantung di ruang awam serta kediaman di seluruh negara.
Bekas permaisuri Sirikit, ibu kepada Raja semasa, Raja Vajiralongkorn, dan isteri kepada raja yang paling lama memerintah negara itu, mangkat lewat Jumaat lalu pada usia 93 tahun.
Gambar serta penghormatan dalam warna hitam dan putih kepada figura diraja itu kini dipaparkan di papan iklan digital besar, televisyen pasar raya dan lobi hotel, serta muncul sebagai notis khas dalam aplikasi perbankan tempatan.

Tanaburdee Srimuang, 24 tahun, telah berkawal di luar Istana Diraja sejak berita kemangkatan Sirikit disahkan awal pagi kelmarin.
“Saya tidak letih,” katanya kepada AFP. “Saya gembira dapat berada di sini buat kali terakhir, menjadi sebahagian daripada penghormatan pada hari bersejarah ini.”
Jasad bekas permaisuri dijangka dibawa petang hari ini dari Hospital Chulalongkorn ke Istana Diraja Thailand, tempat baginda akan disemadikan selama setahun sebelum upacara pembakaran mayat dijalankan.
Penyampai berita televisyen kini berpakaian hitam dan laman web media bertukar ke warna monokrom, manakala rakyat diminta mengenakan pakaian berwarna suram serta menangguhkan acara awam bersifat perayaan selama 90 hari.
Seorang wartawan AFP melaporkan kira-kira separuh daripada pengunjung pasar raya dan jalan beli-belah di pusat Bangkok berpakaian hitam atau putih, warna tradisi berkabung di Thailand.
Kumpulan K-pop terkenal Blackpink meneruskan konsert mereka yang habis terjual di Stadium Nasional Rajamangala berkapasiti 50,000 tempat duduk pada kelmarin dan hari ini, namun para penonton diminta memakai pakaian hitam sebagai tanda berkabung. – AFP

