Oleh Sim Y. H, Daniel Lim & Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Setelah berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan selama kira-kira sebulan, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara penuh beradat yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 itu ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Salminan bin Haji Burut, selaku timbalan pengerusi bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda Sultan ke-73.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Jawatankuasa Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, timbalan-timbalan setiausaha tetap di KHEDN, ketua-ketua jabatan dan timbalan ketua jabatan di bawah KHEDN, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung Daerah Brunei dan Muara, pegawai-pegawai kanan, pihak swasta dan para jemputan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Haji Yushli bin Haji Ashli yang diikuti dengan pasukan seramai 73 orang pembawa bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota-anggota Jabatan Penjara dan Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.
Majlis diteruskan dengan Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei. Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’, dinyanyikan oleh kumpulan koir dari KHEDN, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka dan koir jemputan dari Jabatan Penerangan dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.


Majlis diteruskan dengan upacara penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang kemudiannya diserahkan oleh Pegawai Pembawa Bendera, 1231 Lt Dayangku Nur Bahirah binti Pengiran Haji Abdul Rahman kepada Awang Salminan dan diikuti dengan bacaan doa selamat bagi penutup upacara.
Sementara itu di Daerah Belait, acara seumpamanya diadakan di Menara Cendera Kenangan, yang terletak di Jalan Sungai, Kuala Belait dan hadir pada upacara tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Ketua Kampung Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput.
Upacara itu dimulakan dengan perarakan masuk anggota Polis Diraja Brunei, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Rancangan Perumahan Negara Kampung Pandan;Haji NorAzhar bin Haji Harith.
Ini kemudiannya disusuli dengan nyanyian lagu kebangsaan Allah Peliharakan Sultan oleh kumpulan koir Sekolah St. John, Kuala Belait; diikuti dengan upacara penurunan bendera kebangsaan dan seterusnya menyerahkan bendera berkenaan kepada pegawai Daerah Belait sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.
Di Daerah Temburong pula, upacara penurunan bendera telah diadakan di di Kawasan Lapang Dermaga Pekan Bangar dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Abdul Ghani bin Haji Othman.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Peringkat Daerah Temburong, ketua-ketua cawangan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.