Oleh Syahmi Hassan, Noorhamizan Haji Mohd Mosbi & Hajah Saemah Kepli
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 tahun telah diadakan bertempat di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat di upacara tersebut ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud selaku timbalan pengerusi bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Hari Keputeraan Baginda Sultan bagi tahun 2018.
Turut hadir di majlis tersebut ialah ahIi-ahli jawatankuasa kebangsaan, ketua-ketua jabatan, timbalan-timbalan ketua jabatan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pihak swasta dan para jemputan.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid Kampung Pelambayan, Haji Ali Yusof bin Haji Arshad.
Seterusnya, pasukan seramai 72 orang pembawa bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota-anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Penjara dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei (PDB). Berikutnya, Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam yang terdiri daripada anggota-anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bergerak masuk dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam PDB.


Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan oleh kumpulan koir dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, KHEDN, Kumpulan Koir Sekolah Menengah Sayyidina Husain dan Kumpulan Koir Suara Anak Seni dengan diiringi oleh Pasukan Pancaragam PDB.
Sejurus selepas itu, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam lalu diturunkan oleh ketua perbarisan anggota TLDB dan diserahkan kepada tetamu kehormat majlis. Manakala, untuk memberkati majlis Doa Selamat dibacakan sebagai penutup upacara tersebut.
Sementara itu di Daerah Temburong, upacara menurunkan bendera negara telah berlangsung di Kawasan Lapang Dermaga Pekan Bangar. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Haji Adnan bin Haji Adam.
Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu, Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Peringkat Daerah Temburong, ketua-ketua cawangan, penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai Imam Masjid Utama Muhammad Salleh, Pekan Bangar, Haji Mohd Yussof bin Haji Ahad. Acara diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan sebelum upacara penurunan dan penyerahan bendera Negara Brunei Darussalam kepada tetamu kehormat majlis.
Sementara itu pula, di Daerah Belait, upacara menurun bendera negara telah diadakan di kawasan Taman Persiaran Cendera Kenangan di sini, hari ini.
Hadir menyaksikan upacara penurunan bendera itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait Awang Haji Zamree bin Haji Junaidi. Turut hadir ke majlis itu ialah ahli-ahli MMN, ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 tahun bagi Daerah Belait, Ketua-Ketua Jabatan dan cawangan Daerah Belait, penghulu-penghulu Mukim dan ketua-ketua kampung, ketua-ketua rumah panjang, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, wakil-wakil dan pihak swasta serta wakil daripada persatuan-persatuan.
Upacara tersebut telah dimulakan dengan Pasukan Pengibar Bendera Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota-anggota PDB. Kemudian nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan oleh Kumpulan Koir Sekolah St John dan Hidayah dari RPN Panaga Seria.
Selepas nyanyian lagu kebangsaan, bendera diturunkan oleh Pasukan Pengibar Bendera. Majlis disudahi dengan bacaan Doa Selamat di etuai oleh Imam Masjid Lorong Tiga Selatan, Awang Shahirwandy bin Samsudin.
Dengan upacara penurunan bendera besar ini, ia menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera bagi semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-72 tahun bagi tahun 2018.
Dengan itu orang ramai adalah dikehendaki serta memastikan untuk menurunkan dengan sempurnanya bendera masing-masing termasuklah di rumah-rumah kediaman, bangunan-bangunan kerajaan dan swasta.