Oleh Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan & Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB –Selepas berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan selama 10 hari, bendera besar Negara Brunei Darussalam hari ini mula diturunkan dengan penuh beradat sebagai tanda berakhirnya pengibaran bendera sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-37.
Sehubungan itu, Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam hari ini telah diadakan di seluruh negara dengan tumpuan utama upacara tersebut di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan upacara tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Seri Paduka Ar Haji Marzuke bin Haji Mohsin.
Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Imam Tingkat 1, Masjid Kampung Pelambayan,Haji Mohamad Ali Taufiq bin Haji Abdul Rahman, diikuti dengan perarakan masukan anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB).
Lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ kemudiannya dinyanyikan dengan iringan pasukan koir Sekolah Menengah Berakas yang terdiri daripada 37 orang penuntut serta pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).



Upacara berakhir dengan penurunan bendera besar yang kemudiannya diserahkan kepada tetamu kehormat majlis.
Turut hadir ialahTimbalan Setiausaha Tetap (Kebeliaan dan Kesukanan) Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kolonel (B) Pengiran Haji Maiddin bin Pengiran Haji Said dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja Menaikkan dan Menurunkan Bendera Besar; Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera Hari Kebangsaan ke-37 dan ahli-ahli jawatankuasa yang lain serta pegawai-pegawai kanan KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Sementara itu, upacara penurunan bendera bagi Daerah Tutong telah diadakan di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Ajmin bin Haji Meludin.
Turut hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, ketua-ketua jabatan dan cawangan kerajaan di Daerah Tutong, penghulu-penghulu, pemangku penghulu, ketua-ketua dan pemangku ketua kampung.
Acara telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa diketuai oleh Ketua Imam Kampung Menengah, Tutong, Awang Mohammad Azim Shah bin Abdul Rahman.
Bendera negara kemudiannya diturunkan oleh PPDB sejurus selepas nyanyian lagu kebangsaan dan diteruskan dengan penyerahan bendera negara kepada pemangku pegawai Daerah Tutong.
Di Daerah Belait pula, majlis seumpamanya diadakan di Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait dan dihadiri oleh Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.
Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang; ketua kampung, ketua-ketua jabatan kerajaan dan perwakilan daripada sektor swasta dan persatuan di Daerah Belait.
Majlis tersebut dimulakan dengan perarakan pembawa bendera yang terdiri daripada anggota PPDB diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan, ‘Allah Peliharakan Sultan’, yang dipimpin oleh kumpulan koir dari Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait.
Bendera negara kemudian diturun-kan oleh pembawa bendera tersebut sebelum dilipat dan diserahkan kepada pegawai Daerah Belait.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Ketua Imam Masjid Lorong Tiga Selatan, Seria, Awang Noor Azhar bin Haji Harith.