Wednesday, February 26, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Upacara penurunan bendera besar

    Oleh Sim Y.H. & Daniel Lim – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Setelah berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan selama kira-kira 10 hari, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara penuh beradat yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini, sekali gus menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera di seluruh negara.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan upacara berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan, selaku Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK-41.

    Turut hadir, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun HK-41 serta ahli-ahli jawatankuasa kerja yang lain.

    Di Daerah Belait, upacara menurunkan bendera telah diadakan di Menara Cendera Kenangan dan dihadiri oleh Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad selaku tetamu kehormat.

    Acara dimulakan dengan perarakan para pembawa bendera yang terdiri daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), diikuti nyanyian lagu kebangsaan.

    Bendera negara kemudian diturun-kan dan dilipat kemas oleh pembawa bendera yang kemudiannya diserahkan kepada tetamu kehormat sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    Sementara di Daerah Temburong, upacara serupa telah diadakan di Kawasan Letak Kereta Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Mukim Bangar, Temburong. Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar; Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong selaku Pengerusi Majlis, Dayang Nur Adlina binti Haji Azman, Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir; dan jemputan khas.

    Manakala upacara bagi Daerah Tutong telah diadakan di kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong. Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri.

    Setelah berkibar megah di ruang udara Bandar Seri Begawan selama kira-kira 10 hari, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara penuh beradat yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Upacara penurunan bendera besar yang berlangsung di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Anggota PPDB menyerahkan bendera besar kepada Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim pada majlis tersebut. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Haji Amirol Hafidzin menerima bendera daripada pembawa bendera pada upacara di Menara Cendera Kenangan. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Awang Mohammad Sofian hadir selaku tetamu kehormat pada upacara di Daerah Tutong. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TUTONG
    Awang Hassan Baha menerima bendera pada majlis di Daerah Temburong. – GAMBAR SERAHAN JABATAN DAERAH TEMBURONG

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda