Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Setelah berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan selama 10 hari, bendera besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara beradat yang berlangsung di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di sini, hari ini.
Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-34 disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato Paduka Awang Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Menaikkan dan Menurunkan Bendera Besar dan Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera Hari Kebangsaan ke-34, tahun 2018, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, wakil-wakil jabatan kerajaan dan swasta, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Muhd Azrol Alim bin Haji A. Zaini.
Majlis kemudian diteruskan dengan anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bergerak masuk diikuti lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dengan iringan pasukan koir dari Sekolah Menengah Berakas terdiri daripada seramai 34 orang penuntut lelaki dan 34 orang penuntut perempuan serta Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.



Setelah selesai lagu kebangsaan, bendera besar Negara Brunei Darussalam diturunkan serta dilipat kemas oleh anggota TLDB untuk diserahkan oleh ketua perbarisan anggota TLDB kepada Dato Paduka Awang Ahmaddin diikuti dengan bacaan Doa Selamat bagi penutup upacara berkenaan.
Sementara itu di Daerah Belait pula, upacara menurunkan bendera besar telah diadakan di Menara Cendera Kenangan.
Hadir menyaksikan upacara berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku Penghulu Mukim Liang dan Pemangku Pegawai Daerah Belait, Awang Abdol Hazis bin Haji Ahad.
Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, wakil-wakil daripada pihak swasta dan wakil daripada persatuan-persatuan.
Upacara telah dimulakan dengan pasukan pengibar bendera Negara Brunei Darussalam bergerak masuk yang terdiri daripada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei yang kemudiannya menurunkan bendera besar negara.
Upacara itu adalah sebagai tanda selesainya pengibaran bendera di jalan-jalan raya, premis-premis kerajaan dan swasta serta juga rumah-rumah di seluruh negara bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-34.