Upacara pertabalan Naruhito minggu depan

TOKYO, 18 OKT – Maharaja Naruhito secara rasmi akan ditabalkan menduduki takhta diraja Jepun dalam satu majlis keagamaan minggu depan, namun upacara itu bakal dibayangi kejadian taufan Hagibis.

Naruhito dilantik sebagai Maharaja Jepun pada 1 Mei lalu, sehari selepas bapanya, Akihito, menjadi raja berperlembagaan pertama yang turun takhta dalam 200 tahun.

Namun, proses peralihan itu bakal disempurnakan pada Selasa ini dalam beberapa upacara yang dijangka dihadiri pembesar asing dari hampir 200 negara.

Upacara itu berlangsung kira-kira seminggu selepas taufan Hagibis melanda Jepun, yang mengorbankan hampir 80 orang, selain kemusnahan lain.

Susulan itu, kerajaan menangguhkan salah satu acara penting dalam majlis berkenaan, iaitu perarakan menaiki kereta, bertujuan memperkenalkan pasangan diraja itu kepada orang ramai.

Acara lain akan diteruskan dan ia bakal bermula dengan upacara keagamaan yang berlangsung secara tertutup.

Selepas itu, Naruhito dan isterinya, Maharani Masako akan menghadiri upacara utama di Bilik Pine di Istana Imperial, bagi mengisytiharkan bermulanya era pemerintahan beliau dalam takhta diraja Jepun. – AFP

Gambar fail yang diambil pada 2 Jun menunjukkan Maharaja Jepun Naruhito dan Maharani Masako menghadiri festival menanam pokok di Owariasahi, wilayah Aichi. Naruhito bakal menaiki takhta secara rasmi pada 22 Oktober dalam upacara penuh keagamaan. – AFP