BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Ke arah usaha bagi membantu siasatan dan pendakwaan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan, Unit Perisikan Kewangan, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (UPK, AMBD), baru-baru ini, telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Cambodia Financial Intelligence Unit, National Bank of Cambodia (CAFIU).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AMBD, di sini, MoU dengan CAFIU itu merupakan MoU kelima yang telah ditandatangani oleh UPK, AMBD selepas menandatangani MoU dengan unit-unit perisikan kewangan Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan Bangladesh.
Di bawah MoU berkenaan, kedua-dua agensi bersetuju untuk bekerjasama dalam pertukaran maklumat perisikan kewangan sebagai menandakan komitmen yang kukuh di antara kedua-dua agensi dalam membanteras aktiviti pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.
Penandatanganan MoU bersama unit-unit perisikan kewangan lain adalah selaras dengan prinsip pertukaran maklumat Egmont Group, sebuah organisasi sejagat yang merangkumi unit-unit perisikan kewangan antarabangsa.
UPK AMBD menjadi ahli kepada Egmont Group pada bulan Jun 2014 manakala CAFIU telah menjadi ahli pada bulan Jun 2015.
Selain itu, penandatanganan MoU tersebut juga merupakan salah satu langkah dalam melaksanakan pematuhan kepada piawaian antarabangsa berhubung pembanterasan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan khususnya Financial Action Task Force Recommendation 29.
UPK, AMBD dan CAFIU, masing-masing, merupakan agensi pusat di Negara Brunei Darussalam dan Kemboja bagi menerima, memohon, menganalisis dan mengongsikan laporan transaksi yang mencurigakan dan maklumat lain berkaitan dengan pembersihan wang haram dan pembiayaan pengganasan.