BELO HORIZONTE, 17 JUN – Luis Suarez dan Edinson Cavani meledak gol ketika Uruguay menewaskan Ecuador yang beraksi 10 pemain 4-0 pada aksi pembukaan Kumpulan C saingan Copa America 2019, semalam.
Gol pembukaan Uruguay dari Nicolas Lodeiro seawal minit keenam sebelum pertahanan Ecuador, Jose Quintero diarah keluar padang susulan kad merah pada minit ke-24.
Kelebihan itu pantas dimanfaatkan di Stadium Mineirao itu dengan Cavani dan Suarez menyumbat gol pada babak pertama.
Gol keempat yang diperoleh pada babak kedua berpunca daripada jaringan sendiri pemain Ecuador, Arturo Mina, 12 minit sebelum permainan berakhir.
Kemenangan menjadi permulaan sempurna buat Uruguay yang diundi dalam kumpulan yang turut diisi penyandang juara, Chile dan Jepun yang akan bertemu, esok.

Berpunca daripada hantaran bintang Barcelona, Suarez, Lodeiro membuktikan kemampuannya apabila tenang menewaskan benteng Ecuador sebelum melepaskan rembatan menarik mengatasi penjaga gol Alexander Dominguez.
Ecuador menggunakan permainan fizikal mencetuskan kemarahan pemain Uruguay dan Quintero tampak bertuah selepas terlepas daripada dikenakan sebarang tindakan sekali pun dilihat menyiku Diego Laxalt.
Begitupun sejurus itu, tangannya menyentuh muka Lodeiro apabila kedua-duanya bertarung di udara yang mengakibatkan muka lawannya itu berlumuran darah.
Pengadil dari Brazil, Anderson Daronco pada awalnya melayangkan kad kuning tetapi selepas berunding dengan Video Bantuan Pengadil (VAR) keputusannya diubah kepada kad merah.
Dan kurang 10 minit selepas itu, penyerang Paris Saint-Germain, Cavani menambah kelebihan Uruguay menerusi rembatan gunting cantik sebelum Suarez memanfaatkan kesilapan pertahanan untuk terus menghukum Dominguez pada minit ke-44. – AFP