Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Uruguay ujian getir Argentina

    MONTEVIDEO, 30 Ogos – Luis Suarez mungkin akan menentang rakan sepasukan dari Barcelona Lionel Messi esok ketika perjuangan pasukan dari Amerika Selatan untuk mendapat tempat Piala Dunia 2018 diteruskan dengan kunjungan Argentina ke Uruguay.

    Dengan Brazil sudah mengukuhkan tempat dalam perlawanan tahun depan, tumpuan bertukar kepada pergelutan tiga lagi tempat secara automatik yang ditawarkan dalam aksi kelayakan bagi 10 pasukan.

    Colombia di tangga kedua dalam senarai dengan 24 mata sementara Uruguay dan Chile mengungguli dua lagi kedudukan automatik dengan 23 mata.

    Ia bermakna Argentina di tangga kelima memiliki margin kecil untuk kesilapan ketika mereka berkunjung ke Estadio Centenario, Montevideo bagi siri terbaru persaingan bersejarah bersama Uruguay.

    Argentina dalam kesukaran sepanjang kelayakan setakat ini, mencatatkan hanya enam kemenangan daripada 14 perlawanan tetapi menunjukkan petanda kebangkitan di bawah jurulatih baru Jorge Sampaoli.

    (Dari kiri) Mauro Icardi, Lionel Messi, Augusto Fernandez dan Angel Di Maria semasa menyertai sesi latihan di Ezeiza, Buenos Aires, kelmarin. – AFP
    Cavani (kanan) mengawal bola ketika menyertai sesi latihan skuad Uruguay di Kompleks Sukan Celeste di Canelones, Montevideo, kelmarin. – AFP

    Sampaoli, yang menjadi perancang kejayaan Copa America 2015 Chile menguasai ‘Albiceleste’ Mei lalu dan memulakan penguasaannya dengan kemenangan moral 1-0 ke atas Brazil dalam aksi persahabatan Jun lalu.

    Kemenangan 6-0 ke atas Singapura memberikan petanda lebih jauh bahawa Sampaoli, yang memilih gaya agresif menyerang, mungkin sudah mula memberikan pengaruh.

    Sampaoli menerima notis keinginannnya untuk mengangkat kedudukan Argentina dengan mengetepikan Gonzalo Higuain dan memilih Mauro Icardi dari Inter Milan.

    Icardi dijangka akan beraksi di bahagian depan bersama Messi dan pemain Juventus, Paulo Dybala di belakang.

    Perjalanan Argentina ke Rusia disukarkan dengan kenyataan Mahkamah Penimbang Tara bagi Sukan semalam yang mengesahkan sekatan ke atas Bolivia kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam keputusan seri 0-0 menentang Chile pada September 2016.

    FIFA kemudian menukar keputusan menang 3-0 kepada Chile dalam satu keputusan yang bermakna bekas pasukan Sampaoli kini mempunyai kelebihan satu mata ke atas Argentina yamg menduduki tempat kelima.

    Uruguay sementara itu cemas dengan tahap kecergasan pemain bintang Barcelona Luis ??Suarez. Penyerang berbisa berusia 30 tahun itu pada awalnya diketepikan kerana kecederaan tetapi telah kembali ke tanah air untuk berlatih bersama pasukan.

    Jurulatih veteran Oscar Tabarez mengisyaratkan Suarez masih boleh membuat kepulangan dramatik pada Khamis dan menolak untuk mengetepikan penyerang itu kerana pemain itu telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang agak mengejutkan.

    Sekiranya Suarez gagal pulih sepenuhnya, Uruguay sekali lagi akan menaruh harapan dengan penyerang Paris Saint-Germain Edinson Cavani, yang juga penjaring terbanyak aksi kelayakan dengan sembilan gol.

    Di tempat lain pada Khamis, Colombia di tempat kedua akan berusaha untuk mendekati kelayakan dengan kemenangan di Venezuela yang telahpun tersingkir.

    Sementara itu, Chile yang menduduki tempat keempat akan melayan Paraguay di Santiago ketika mereka berhasrat untuk terus mendahului Argentina dalam kedudukan kelayakan.

    Brazil yang sudah menarik nafas lega akan menentang Ecuador di Porto Alegre sebagai latihan selepas memperoleh kelayakan dalam aksi terakhir mereka dengan kemenangan 3-0 ke atas Paraguay pada Mac dalam kemenangan kelapan berturut-turut skuad Selecao. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda