Wednesday, October 2, 2024
27.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Urus kesihatan mental berpandukan Al-Quran

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Majlis Ilmu 2024 terus dimeriahkan dengan seminar bagi membincangkan subtema Kesihatan Mental dan Agama yang berlangsung di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada sesi pertama, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Kertas kerja pada sesi pertama yang bertajuk Kaedah Mengurus Gejala Kesihatan Mental Menurut Al-Quran telah disampaikan oleh Naib Canselor, Universiti Islam Selangor (UIS), Profesor Dato’ Dr Mohd Farid Ravi bin Abdullah.

    Beliau antara lain menyentuh mengenai faktor-faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada peningkatan masalah gangguan kesihatan mental yang berlaku dalam pelbagai golongan dan tahap umur.

    Islam turut menggalakkan keseimbangan mental dengan memberikan perhatian kepada aspek kerohanian. Kaedah yang dikemukakan oleh Al-Quran boleh dijadikan panduan dalam mengurus gejala kesihatan mental yang dihadapi dengan berkesan.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin hadir selaku tetamu kehormat. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Antara yang hadir pada seminar berkenaan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    Manakala, kertas kerja seterusnya yang bertajuk Integrating Religious Perspectives into Mental Health Legislation: A Holistic Approach to Human Rights and Well-Being in Brunei Darussalam telah disampaikan oleh pensyarah Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Profesor Nehaluddin Ahmed.

    Beliau telah mengetengahkan bahawa undang-undang yang berkaitan dengan kesihatan mental yang melindungi hak pesakit kesihatan mental adalah tidak mencukupi jika ia mengabaikan dimensi agama, kepercayaan atau orientasi transendental di mana undang-undang ini bertujuan untuk melindungi.

    “Perspektif agama terhadap penyakit mental perlu diselaraskan untuk menyokong inisiatif kontemporari seperti hak asasi manusia yang berusaha bagi meningkatkan kehidupan rakyat oleh penggubal dasar, cendekiawan, doktor dan organisasi antarabangsa yang bekerja dalam bidang kesihatan mental,” tegasnya.

    Sementara itu, kertas kerja yang bertajuk Pengembangan Kecerdasan Emosi melalui Penghayatan Sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai Asas Pemerkasaan Kesihatan Mental: Satu Pendekatan Psikospiritual Islam telah disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Bahagian Kaunseling dan Kefahaman Ugama, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

    Beliau membincangkan mengenai pengembangan kecerdasan emosi (EI) melalui penghayatan sunnah Nabi Muhammad SAW sebagai asas untuk memperkasakan kesihatan mental, yang berlandaskan pendekatan psikospiritual Islam.

    Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani selaku pengerusi-pengerusi bersama; Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Rektor UNISSA, setiausaha dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan, para jemputan khas, para pembentang kertas kerja, pegawai dan kakitangan dari pelbagai kementerian dan jabatan.

    Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk sama-sama hadir ke seminar berkenaan yang akan diteruskan esok di lokasi yang sama.

    Manakala, sesi forum daerah-daerah juga akan diadakan di Dewan Kemasyarakatan Belalong, Daerah Temburong pada 12 Oktober; di Dewan Musyawarah, ICC, Berakas (19 Oktober); di Dewan Ma’had Islam Brunei, Daerah Tutong (22 Oktober); dan di Pusat Insani, Seria, Daerah Belait (24 Oktober).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda