Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Dalam kehidupan berumah tangga, perlu ada sikap keterbukaan dalam berkomunikasi antara pasangan suami isteri agar salah seorang daripadanya menjadi pendengar yang memahami.
Dalam kehidupan berumah tangga juga, setiap permasalahan perlu diselesaikan dengan baik, saling berkomunikasi untuk memperjelaskan masalah dan pentingnya meminta pertolongan dan berserah kepada Allah SWT.
Perkara itu antara yang ditekankan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Ketua Unit Dakwah Daerah Belait, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapa dalam tazkirahnya sempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bertemakan Keluargaku, Harapanku, yang menginspirasikan pembentukan keluarga bahagia, sakinah, mawaddah wa rahmah.
Tazkirah itu merupakan sebahagian daripada pengisian Malam Munajat kali ke-182 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung malam tadi, bermatlamat memperkukuhkan amalan kerohanian dan memohon keberkatan serta perlindungan Ilahi.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengerusi Badan Sukarelawan Belia Da’ie, Awang Mohammad Najihuddin bin Nooralizam dari Mushalla Al-Ameen, PDI.
Acara seterusnya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Mulk oleh Penolong Ketua Media Belia Mualaf Syahadah, Awang Muhammad Saiful Dafi bin Muhammad Suhaimi @ Suanddy bin Suhaimi, diikuti dengan Doa Munajat yang dibacakan oleh Awang Abdul Mu’iz bin Haji Jahair.
Majlis juga diserikan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai dipimpin oleh Pengiran Mohammad Rafiuddin bin Pengiran Haji Badaruddin serta bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Awang Muhammad Nazhiim Mustagim bin Zaini dari Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.
Malam Munajat yang disiarkan secara maya turut disertai oleh warga kerja KHEU bersama keluarga, ahli-ahli Badan Sukarelawan Belia Da’ie, Belia Mualaf Syahadah, ahli jawatankuasa takmir serta jemaah dari masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
