Sunday, September 8, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Urus wang dengan bijaksana

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Sebagai manusia, kita tidak dapat mengelak daripada mengurus dan menghadapi masalah kewangan, oleh itu pengurusan kewangan teratur akan membantu menyejahterakan kehidupan pada masa hadapan, tekan khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Bijaksana dalam Pengurusan Kewangan’.

    Menurut khatib, kita perlu membuat inisiatif baharu bagi mengubah sikap dalam pengurusan kewangan dan sebagai permulaan antara langkah yang boleh dilakukan dengan menyemak dan menyusun semula kewangan peribadi.

    Seterusnya mengingatkan bagi sentiasa muhasabah diri dalam perbelanjaan dan gaya hidup. Jika ia melebihi daripada kemampuan, maka perlu kurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan simpan wang untuk rancangan masa depan.

    Selain mengamalkan budaya menabung kerana dengan menabung dapat membuat persediaan jika berlaku hal-hal kecemasan dan elakkan daripada berhutang lebih-lebih lagi berhutang bagi perkara yang tidak berfaedah dan tidak penting.

    Khatib dalam khutbahnya turut menegaskan, dalam pengurusan kewangan hendaklah memiliki beberapa kemahiran untuk membuat keputusan betul dalam kehidupan.

    Gambar Fail oleh Muiz Matdani

    Ini seperti mempunyai kesedaran terhadap pentingnya mengurus kewangan, meningkatkan ilmu pengetahuan tentang kewangan dan risikonya, mempunyai sikap yang betul terhadap kewangan, memotivasikan diri dan mempunyai keyakinan untuk mengurus kewangan yang baik.

    Katanya lagi, “Amalan menabung adalah amalan terpuji, budaya menabung hendaklah diterapkan di peringkat awal lagi dalam kalangan generasi muda.”

    Sehubungan itu, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak kecil lagi dan seharusnya menjadi contoh yang baik dalam mengamalkan tabiat suka menabung.

    “Anak-anak perlu didikan dengan mendisiplinkan diri agar mempunyai peti tabung sendiri di rumah atau mempunyai akuan simpanan dalam bank,” jelasnya.

    Kita juga perlu menjelaskan kepada anak-anak tujuan dan pentingnya amalan menabung agar mereka berminat untuk menabung, menanamkan sifat berjimat cermat, berbelanja dengan bijak dan tidak bersikap boros.

    Khatib seterusnya menegaskan, banyak kelebihan yang boleh dapat daripada amalan menabung, antaranya ekonomi seseorang akan lebih teratur dan terancang, dapat membantu membuat persediaan bagi menghadapi keadaan yang tertentu di masa akan datang seperti persediaan urusan persaraan, pendidikan anak-anak, pemilikan kenderaan, kediaman dan seumpamanya.

    Khatib menjelaskan bahawa menabung dengan jumlah yang sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada tidak menabung.

    “Dengan adanya wang simpanan juga membolehkan kita meningkatkan ibadah kepada Allah dan dengan harta yang dimiliki, boleh melakukan amal jariah seperti memberi sumbangan wakaf, sedekah dan sebagainya,” jelasnya.

    Sebagai umat Islam, hendaklah membelanjakan rezeki yang diperoleh dengan bijak mengikut lunas-lunas Islam.

    Sehubung dengan itu khatib menyeru supaya mengamalkan sikap bijaksana dalam mengurus kewangan agar dapat mengukuhkan lagi ekonomi keluarga, masyarakat dan negara demi menjamin masa depan yang lebih baik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda