MILAN, 6 APRIL – Polis melakukan pemeriksaan di pejabat kelab Serie A, Roma, Lazio dan Salernitana kelmarin sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas urusan pemindahan mereka yang lalu, menurut laporan media Itali.
Siasatan terhadap Roma membabitkan pemindahan yang dibuat antara 2017 dan 2021, ketika kelab ibu kota itu masih disenaraikan di bursa saham Milan.
Pencarian di Lazio dan Salernitana berkaitan dengan perjanjian yang dibuat antara kedua-dua kelab tersebut sepanjang tempoh kedua-duanya dimiliki oleh pemilik Lazio, Claudio Lotito.
Agensi berita, AGI melaporkan bahawa Lazio sedang disiasat kerana mengeluarkan invois untuk transaksi yang tidak wujud dan perakaunan palsu.
Dalam satu kenyataan, Lazio berkata dokumentasi mereka ‘sentiasa tersedia untuk pihak berkuasa’ dan mereka berharap ‘sebarang salah faham atau keraguan berhubung kesalahan yang disyaki dapat dihapuskan dengan segera’.
Ahli perniagaan, Lotito terpaksa melepaskan Salernitana kepada pemegang amanah pada Jun 2021 selepas kenaikan pangkat dari Serie B kerana peraturan Persatuan Bola Sepak (FA) Itali melarangnya memiliki dua kelab dalam divisyen yang sama.
Satu tarikh akhir tahun ditetapkan untuk penjualan kepada pemilik baharu, dan kelab itu akan diusir keluar daripada liga jika tawaran daripada Danilo Iervolino tidak diterima pada minit terakhir.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Salernitana berkata ‘pemilikan semasa tidak ada kaitan dengan pemindahan yang disiasat kerana ia berkaitan dengan musim sebelum kelab bertukar tangan’. – AFP


