BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dengan kerjasama Persatuan Bank-bank Brunei (BAB), Persatuan Insurans dan Takaful Brunei (BITA), Persatuan Pasaran Modal Brunei Darussalam (BCMA) dan Persatuan Perancang Kewangan Brunei Darussalam (FPAB) telah mengadakan Program Financial Health Check di bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MoFE), baru-baru ini.
Program yang diadakan selama lima hari bermula 15 hingga 19 April itu diadakan bertujuan untuk memberikan peluang kepada pegawai dan kakitangan MoFE dan AMBD untuk berinteraksi dengan perancang kewangan yang berlesen dan berkelayakan untuk mengetahui sama ada mereka berada di landasan yang betul bagi mencapai matlamat kewangan mereka.
Program tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu bahagian pertama diisikan dengan taklimat-taklimat kewangan yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para pengunjung mengenai konsep dan cara-cara bagi menguruskan kewangan dari segi simpanan, insurans atau takaful serta untuk membuat pelaburan.
Bahagian kedua pula diisi dengan One-on-One Consultation bagi memberikan peluang kepada para pengunjung untuk berbincang secara peribadi mengenai pengurusan kewangan dengan perancang kewangan yang berlesen dan berkelayakan dari institusi kewangan pilihan mereka.
Bahagian ketiga pula merangkumi pameran kewangan sebagai platform bagi institusi kewangan untuk berkongsi sama maklumat mengenai produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan.
