KUALA LUMPUR, 8 MEI – US Pizza selaku piza kegemaran tempatan serta Mesin Layan Diri Jus Segar My US Coffee Sdn Bhd, masing-masing telah mencatatkan rekod ASEAN atas inovasi mereka.
US Pizza menerima pengiktirafan kerana menawarkan piza bercita rasa tempatan paling banyak di ASEAN, dengan 88 variasi disesuaikan dengan kegemaran rakyat Malaysia, manakala Iboozee diberi penghormatan kerana memperkenalkan jus buah bersijil halal pertama melalui mesin layan diri automatik di Malaysia.
Majlis pengiktirafan itu diadakan bersempena pameran Franchise International Malaysia (FIM 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan US Pizza Deric Yeo berkata anugerah itu, mencerminkan kekuatan syarikat dalam berinovasi dan menyediakan makanan bercita rasa temptan untuk pasaran serantau.
“Kami sangat berbangga kerana pengiktirafan ini, yang merangkumi semua negara ASEAN. Walaupun bersaing dengan pemain serantau yang lebih besar, keupayaan kami untuk mengikut cita rasa tempatan dan berinovasi benar-benar membezakan kami,” katanya kepada Bernama. – Bernama
