ALOR SETAR, 29 APRIL – Barisan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) diingatkan agar tidak memandang mudah kemampuan Melaka United (MU), walaupun pasukan itu sedikit ‘tempang’ ekoran beberapa tonggaknya tidak dapat diturunkan pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Melaka, esok.
Jurulatih pasukan Kedah Aidil Sharin Sahak berkata begitupun pasukan MU masih mempunyai kelebihan kerana mereka akan beraksi di laman sendiri.
“Tidak penting siapa yang akan turun beraksi kerana mereka tetap akan memulakan perlawanan esok dengan 11 pemain.
“Tambahan, mereka menang 1-0 ketika menentang Perak FC Ahad lalu, jadi ketika ini moral dan semangat mereka berada pada tahap yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dekat sini, sebelum berlepas ke Melaka hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC) Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dilaporkan berkata beberapa pemain simpanan terpaksa diturunkan bagi mengganti pemain yang cedera dan digantung, melibatkan Sony Norde, Alex Goncalves, Mohd Akmal Mohd Zahir, Wan Amirul Afiq Abd Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin.
Dalam pada itu, Aidil Sharin berkata hasrat untuk melihat barisan pemain utama KDA FC untuk turun beraksi malam esok juga masih belum dapat dipastikan kerana keputusan ke atas Fazrul Danel Mohd Azman dan Rodney Celvin yang dikenakan kad merah sebelum ini hanya akan diketahui esok. – Bernama