Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Usah berputus asa dengan rahmat, pertolongan Allah SWT’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Umat Islam di negara ini hari ini sekali lagi diingatkan agar jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT walaupun berdepan dengan pelbagai ujian dan cabaran kehidupan.

    Menerusi khutbah Jumaat bertajuk Jangan Sekali-kali Berputus Asa, para jemaah dinasihatkan supaya sentiasa memelihara ketakwaan kepada Allah dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya kerana orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang bertakwa.

    Khutbah menjelaskan bahawa kehidupan di dunia ini tidak lekang daripada ujian. Ada yang diuji dengan kesempitan rezeki, ada yang diuji dengan sakit, kehilangan orang tersayang, bahkan ada yang diuji dengan kelemahan hati sehingga hampir berputus asa.

    Namun, Allah SWT telah berfirman dalam Surah Az-Zumar ayat 53 yang menyeru hamba-hamba-Nya yang melakukan dosa agar tidak berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampuni segala dosa.

    Dalam Surah Yusuf ayat 87 pula, Allah SWT menegaskan bahawa tiada siapa yang berputus asa daripada rahmat-Nya melainkan kaum yang kafir. Ini menjadi penawar kepada hati yang sedang terluka dan hampir putus asa kerana rahmat Allah SWT jauh lebih luas daripada segala dosa dan kesusahan manusia.

    Khutbah turut memetik hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim mengenai kasih sayang Allah. Baginda menjelaskan bahawa Allah menjadikan rahmat seratus bahagian, menahan sembilan puluh sembilan bahagian di sisi-Nya dan hanya menurunkan satu bahagian di dunia. Daripada satu bahagian rahmat itulah seluruh makhluk saling berkasih sayang, sehingga seekor haiwan pun mengangkat kakinya kerana bimbang akan mencederakannya akibat terpijak.

    Khutbah seterusnya menekankan bahawa ujian dan kesulitan yang menimpa manusia hanyalah sementara kerana Allah SWT telah menjanjikan dalam Surah Al-Insyirah ayat 5–6 bahawa sesungguhnya bersama kesusahan ada kemudahan. Justeru, setiap muslim hendaklah bersabar, bertawakal serta meyakini bahawa setiap masalah pasti ada jalan keluar dengan izin Allah.

    Jemaah juga diingatkan bahawa Allah Maha Mendengar akan doa hamba-hamba-Nya. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 186 menjelaskan bahawa Allah dekat dengan hamba-hamba-Nya dan mengabulkan doa orang yang berdoa kepada-Nya. Malah Rasulullah SAW bersabda bahawa dua mata tidak akan disentuh api neraka iaitu mata yang menangis kerana takutkan Allah dan mata yang berjaga malam kerana membela agama Allah.

    Khutbah turut mengajarkan doa yang sering dibacakan oleh Rasulullah SAW bagi memohon kemudahan dalam urusan kehidupan:

    “Ya Allah, tiada sesuatu yang mudah melainkan apa yang Engkau jadikan mudah, dan Engkau menjadikan kesukaran itu mudah sekiranya Engkau menghendakinya.”

    Mengakhiri khutbah, jemaah dinasihatkan agar sentiasa berbaik sangka dengan ketentuan Allah SWT kerana Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Dengan kesabaran, doa, tawakal dan keyakinan terhadap pertolongan Allah, umat Islam akan memperoleh kejayaan hidup di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. 

    Umat Islam diingatkan agar jangan sekali-kali berputus asa daripada rahmat Allah SWT. – Gambar Unsplash
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda