Tuesday, January 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Usah gementar semasa menderma darah’

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) mengadakan Kempen Derma Darah yang dianjurkan bersama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Kementerian Kesihatan bersempena dengan Kempen Hari Bertindak pagi tadi.

    Kempen yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP bermula pukul 10 pagi itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan di mana sebanyak 61 pain darah berjaya dikumpulkan.

    Ketua Penyelia Simpanan Darah, Pusat Pendermaan Darah, Haji Matusop bin Haji Daud, mengingatkan kepada individu yang ingin menderma darah supaya memastikan mereka berada dalam keadaan sihat, telah mendapat tidur yang cukup dan makan atau mengambil sarapan sebelum menderma.

    Katanya lagi, “Pusat ini sangat memerlukan darah, dan menyarankan orang ramai yang sihat dan tidak ada masalah kesihatan untuk sama-sama membantu pusat dengan menyertai kempen derma darah.”

    Sementara itu, temu bual media dengan salah seorang penderma dalam kempen itu, Awang Redzuan bin Matussin, juga salah seorang kakitangan di KSSUP menasihatkan agar bakal penderma mempersiapkan diri dengan mengambil sedikit makanan sebelum menderma darah.

    Awang Redzuan berpesan supaya mengambil sedikit makanan sebelum menderma.

    Dalam masa yang sama, jelasnya, melalui kempen tersebut, ia bukan setakat untuk meraih pahala daripada Allah semata-mata, bahkan secara tidak langsung ia dapat menyelamatkan beberapa nyawa dalam waktu kecemasan sekiranya diperlukan.

    Seterusnya salah seorang lagi penderma dari KSSUP, Dayang Kamsiah binti Abd Karim mengongsikan pengalaman beliau dalam kempen berkenaan di mana beliau telah lapan kali menderma darah dan salah satu tujuan beliau berbuat demikian adalah untuk membantu anak buahnya yang sedang dirawat di hospital.

    Dayang Kamsiah mengingatkan supaya jangan gementar kepada pederma darah yang pertama kali.

    Beliau yang mengakui gementar ketika melihat jarum suntikan semasa kali pertama menderma darah, menasihatkan penderma darah yang baru untuk cuba mengawal perasaan dan jangan bimbang kerana tiada apa yang perlu ditakutkan.

    Menurutnya lagi, menderma darah itu bukan sahaja baik untuk kesihatan tetapi juga dapat menolong menyelamatkan nyawa orang yang memerlukan, di samping menjadi dorongan kepada individu lainnya untuk melakukan hal kebajikan yang sama.

    Dalam hubungan itu, beliau menyeru orang ramai khususnya golongan muda yang aktif untuk berani tampil ke hadapan menderma darah dan menjadi ‘wira’ kepada yang memerlukan bantuan.

    Semua di atas: Suasana semasa kempen derma darah berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda