Hanya disebabkan teguran kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof dan rakan seperjuangan, Datuk Aaron Aziz agar tidak berbalah bagi menghormati bulan Ramadan, tidak semena-mena Sharnaaz Ahmad menerima ‘amaran’ daripada pelakon Singapura itu agar tidak ikut campur tangan persengketaan mereka.
Aaron tidak mahu orang yang ‘tidak berkenaan’ memberi kenyataan mengenai perkara yang tidak membabitkannya dengan Syamsul. Jika ingin masuk campur bertemunya terlebih dahulu.
Mengulas mengenai ‘amaran’ Aaron, Sharnaaz berkata, dia minta maaf tidak boleh memberikan sebarang komen kerana tidak mahu memanjangkan lagi isu ini.
“Insya-Allah, pihak produksi akan menguruskan dan memberi penjelasan, tetapi ia mungkin dilakukan selepas bulan puasa. Ini kerana saya tidak mahu mencemarkan bulan mulia ini.
“Saya kira sekarang bukanlah waktu yang sesuai. Kita sekarang berada dalam bulan Ramadan, jadi saya tidak mahu mencemarkan kesucian Ramadan dengan berbalah antara satu sama lain.

“Saya mahu menghormati bulan Ramadan dan tidak mahu bergaduh dengan sesiapa,” katanya kepada BH Online.
Diajukan persoalan tujuan menegur Syamsul dan Aaron atau cuba masuk campur urusan mereka, Sharnaaz berkata, dia bukan mahu mencampuri dan juga tidak memihak kepada sesiapa.
“Cuma, saya melihat tindakan berbalah dalam laman sosial pada bulan Ramadan tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sedar pasti ada mempertikaikan saya ingin berlagak baik. Saya tahu saya bukanlah seorang yang baik, tetapi saya berusaha ke arah itu.
“Saya juga berhak bersuara kerana salah seorang yang terbabit dalam filem The Original Gangster.
“Ini bukan soal ingin menyibuk, tetapi orang bercakap mengenai tempat saya cari makan dan hasil kerja yang sedang kami usahakan.
“Rasanya tidak salah untuk saya memberikan pendapat,” katanya. – Agensi