KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Usaha membawa pulang antara 300 dan 400 rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sedang dilaksanakan oleh Kelab Rakyat Rakyat Malaysia Riyadh (KRMR), sebuah badan bukan kerajaan (NGO), dengan kerjasama Wisma Putra dan syarikat penerbangan.
Presiden KRMR Shamsuri Mohamad berkata berdasarkan perbincangan beliau dengan syarikat penerbangan, antara kekangan yang dihadapi mereka ialah isu perundangan dan kebenaran mendarat.
“Bagaimanapun, kami berterima kasih kepada Saudi Arabian Airlines yang sebelum ini membawa penumpang rakyat Malaysia pulang ke tanah air menerusi beberapa penerbangan ke Malaysia.
“Contohnya hari ini (2 Julai), akan ada penerbangan ke Malaysia dari Riyadh dan Damman ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur),” katanya kepada Bernama menerusi WhatsApp. Menurutnya usaha itu turut mendapat bantuan kerajaan Arab Saudi.
“Kita harap mereka dapat terus membantu rakyat Malaysia untuk pulang,” katanya, menambah rakyat Malaysia terbabit terkandas di seluruh pelusuk Arab Saudi termasuk Riyadh, Jubail, Jeddah, Makkah, Madinah dan Abha sejak penularan wabak COVID-19 bermula pada Mac lepas.
Sementara itu, sebuah lagi NGO yang mewakili rakyat Malaysia di Jubail, Kelab Rakyat Malaysia Jubail (KRMJ) memohon kepada kerajaan dan agensi berkaitan di Malaysia agar memudah cara proses membawa pulang rakyat yang terkandas berkenaan. – Bernama