Friday, January 24, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha bebaskan lima gajah gagal

    LOS ANGELES, 23 JAN – Usaha untuk membebaskan lima gajah dari sebuah zoo di Amerika Syarikat (AS) telah gagal selepas hakim-hakim memutuskan bahawa haiwan-haiwan tersebut bukan manusia, oleh itu undang-undang tentang pengurungan haram tidak terpakai.

    Aktivis hak haiwan yang bertindak bagi pihak gajah Afrika tua, iaitu Missy, Kimba, Lucky, LouLou dan Jambo, ingin mahkamah membebaskan mereka dari Cheyenne Mountain Zoo di Colorado.

    Projek Hak Bukan Manusia (NRP) berkata bahawa haiwan-haiwan tersebut sepatutnya dipindahkan ke sebuah santuari gajah.

    Tetapi Mahkamah Agung Colorado baru-baru ini memutuskan bahawa hanya manusia yang dilindungi oleh undang-undang habeas corpus negeri itu.

    “Statut habeas Colorado hanya terpakai kepada individu dan bukan kepada haiwan, tidak kira seberapa canggih haiwan berkenaan secara kognitif, psikologi atau sosial,” panel hakim memutuskan.

    “Perlu dinyatakan bahawa persoalan undang-undang yang sempit di mahkamah ini tidak menolak penghargaan kita terhadap haiwan-haiwan ini secara umum atau kelima-lima gajah ini secara khusus.

    “Sebaliknya, isu perundangan di sini berpokok pada sama ada seekor gajah adalah manusia individu dan disebabkan seekor gajah bukan seorang individu, gajah-gajah di sini tidak mempunyai kedudukan untuk mengemukakan tuntutan habeas corpus.”

    NRP sebelum ini gagal dalam usaha undang-undang untuk membebaskan seekor gajah bernama Happy dari sebuah zoo di New York, apabila mahkamah yang lain bersetuju bahawa haiwan itu bukan manusia.

    Habeas corpus adalah prinsip asas dalam sistem undang-undang di seluruh dunia, yang menyatakan bahawa tidak ada individu yang boleh dipenjarakan secara tidak sah atau menyalahi undang-undang. – AFP

    Gambar fail menunjukkan gajah Kimba dan Lucky di Zoo di Colorado Springs, Coloorado. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda