Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha bendung penghijrah digiatkan

    SALZBURG, Austria, 20 Sept – Para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) telah bersetuju untuk membuka rundingan dengan Mesir dan negara-negara di Afrika Utara sebagai ‘langkah seterusnya yang penting’ untuk membendung penghijrahan ke negara-negara Eropah, kata Canselor Austria, Sebastian Kurz hari ini.

    Kurz berkata, pertemuan pemimpin-pemimpin di bandar Salzburg di Austria itu menyokong rancangan itu setelah mengetahui bahawa Mesir ‘bersedia untuk meningkatkan rundingan dengan EU’.

    EU sebelum ini telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Turki dan Libya yang telah mengurangkan penghijrahan secara mendadak ke Eropah sejak 2015, namun mahu mengembangkan kerjasama dengan kesemua negara-negara Afrika Utara.

    “Para pemimpin mencadangkan rundingan itu dibuka dengan Mesir tetapi juga dengan negara-negara Afrika utara yang lain,” kata Kurz kepada wartawan selepas mengadakan upacara pembukaan makan malam bagi sidang kemuncak itu, semalam.

    “Cadangan ini telah disokong oleh semua,” kata Kurz hari ini, semasa tiba untuk hari kedua pertemuan EU mengenai peralihan, keselamatan dan perbincangan tentang Brexit.

    Kurz berkata beliau dan Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk, yang mempengerusikan sidang kemuncak EU, kini akan menghubungi negara-negara tersebut.

    “Saya percaya bahawa ini akan menjadi satu lagi langkah penting dalam memerangi penghijrahan haram,” kata Kurz, sambil menambah bahawa respons dari Mesir adalah menggalakkan.

    “Mesir adalah negara pertama di Afrika utara yang bersedia untuk menggiatkan perbincangan dengan Kesatuan Eropah,” kata Kurz.

    “Mesir telah membuktikan bahawa ia boleh menjadi cekap,” katanya sambil menambah ia telah menghalang bot-bot dari meninggalkan pantainya atau memaksa bot-bot untuk kembali.

    Kurz, yang baru-baru ini melawat Mesir dengan Tusk, berkata EU harus ‘memanfaatkan’ kesempatan bahawa Mesir nampaknya ingin memperdalam kerjasamanya.

    Mesir akan menjadi tuan rumah di ibu pejabat Liga Arab, yang termasuk anggota negara Afrika utara seperti Tunisia, Algeria dan Maghribi, di samping Libya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda