Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 MAC – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada hari kelima di Bangunan Dewan Majlis, hari ini, telah memberi respons kepada pertanyaan oleh ahli-ahli MMN mengenai akses rawatan pergigian, rancangan penambahan kapasiti perkhidmatan pergigian dan faktor serta perbezaan kos rawatan pergigian di dalam dan di luar negera.
“Kementerian Kesihatan mengendalikan perkhidmatan pergigian sepenuh masa di sembilan pusat kesihatan, empat di hospital kerajaan dan satu di Pusat Perkembangan Kanak-kanak.”
Yang Berhormat Menteri Kesihatan seterusnya menambah, Pusat Pergigian Negara adalah klinik pergigian utama di sini yang menempatkan 40 buah kerusi pergigian yang digunakan untuk 15 pakar pergigian, tujuh pegawai pergigian, lima jururawat pergigian dan 13 kerusi untuk latihan pergigian.
Di samping itu, pusat itu juga menempatkan Makmal Pergigian dengan 17 juruteknologi dan juruteknik pergigian yang bertugas mengendalikan pembuatan prostesis pergigian seperti gigi palsu, crown dan bridgework.
Jabatan Perkhidmatan Pergigian (JPP) sedang dan akan terus berusaha memberikan khidmat di luar klinik pergigian seperti mengendalikan perkhidmatan ke kampung-kampung pendalaman melalui Travelling Health Services.

Selain membuat lawatan ke pusat-pusat dan kediaman pesakit yang berkeperluan khas melalui Program Senyum Kasih dan juga membuat lawatan klinik pakar ke luar daerah bagi meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pergigian.
Dalam respons bagi pertanyaan tersebut, Yang Berhormat Menteri Kesihatan turut mengongsikan statistik JPP, di mana jumlah kedatangan pesakit ke klinik-klinik pergigian kerajaan adalah di antara 150,000-162,000 setahun sebelum COVID-19.
Katanya, “Terdapat peningkatan dalam kehadiran pesakit pergigian pada tahun 2024, dengan jumlah 139,885 pesakit, jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, iaitu 100,091 pesakit.”
Kadar tempahan untuk perjanjian pergigian melalui BruHealth dianggarkan dalam 90 hingga 95 peratus, walaupun hanya 85 hingga 90 peratus yang hadir dan selebihnya gagal untuk hadir.
Manakala bilangan slot perjanjian sudah pun ditambah secara beransur-ansur bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menempah perjanjian.
Di samping itu, Perkhidmatan Pergigian Sekolah, tambah Yang Berhormat Dato, juga telah dilaratkan ke sekolah menengah yang dikendalikan oleh pegawai pergigian dan dimulakan di Sekolah Menengah Chung Hwa yang menyediakan dua kerusi pergigian.
“Inisiatif ini akan diperluaskan ke sekolah-sekolah menengah lain di seluruh Brunei,” jelasnya lagi.
Kementerian Kesihatan melalui JPP sedang giat dalam memastikan penaiktarafan perkhidmatan dan perancangan yang lebih strategik di dalam menangani isu-isu sedia ada dalam penyediaan perkhidmatan.
Yang Berhormat Dato turut difahami ramai penduduk di negara ini menjalani rawatan pergigian di negara-negara jiran, dan untuk mengetahui faktor utama yang menyebabkan rakyat memilih untuk mendapatkan rawatan pergigian di negara-negara jiran ini, memerlukan maklumat atau data melalui kajian secara terperinci yang diajukan kepada penduduk di negara ini.
Perlu diingat, tegas Yang Berhormat Menteri Kesihatan, dalam memilih pusat pergigian untuk mengendalikan perkhidmatan ini, adalah penting untuk memastikan klinik dan pengamal yang dipilih adalah berdaftar, diiktiraf dan memenuhi piawaian antarabangsa bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan rawatan.
Selain mengongsikan di Brunei, terdapat sebanyak lapan buah klinik pergigian swasta dan juga dua buah klinik pergigian di hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan pergigian dengan jumlah 27 doktor pergigian yang berdaftar dengan Lembaga Perubatan Brunei, jelasnya.
“Kementerian Kesihatan mengalu-alukan lebih banyak lagi klinik-klinik swasta di negara ini dan JPP akan terus memantau keperluan dan potensi untuk berkolaborasi dengan pihak swasta dalam mengendalikan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu,” tambahnya.