Oleh Sim Y.H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Sept- Penyakit tidak berjangkit (NCD) kekal sebagai cabaran kesihatan yang mendesak masa kini yang mana penyakit seperti diabetes, kanser, penyakir kardiovaskular dan penyakit pernafasan kronik merupakan antara penyebab kesengsaraan dan kematian utama di Negara Brunei Darussalam dan global.
“Ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan individu dan keluarga tetapi juga memberi beban berat kepada sistem penjagaan kesihatan negara dan ekonomi.”
Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif dalam ucapan alu-aluannya semasa Sidang Media Persidangan dan Pameran Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Antarabangsa yang berlangsung di Kementerian Kesihatan, hari ini.
Di Negara Brunei Darussalam, jelasnya, banyak usaha tanpa lelah telah dijalankan dalam menangani impak meningkat NCD menerusi pelbagai strategi daripada promosi kesihatan dan program pencegahan kepada pengurusan klinikal, inisiatif saringan dan penggunaan kesihatan digital seperti BruHealth.

Namun begitu, beliau menyatakan bahawa pihaknya menyedari dalam menangani NCD, ia tidak boleh dicapai oleh sektor kesihatan bersendirian tetapi ia memerlukan pendekatan seluruh negara dan seluruh masyarakat.
Dalam hubungan itu, beliau menekankan Persidangan dan Pameran NCD Antarabangsa dengan tema Menghubungkan Masyarakat & Penjagaan Kesihatan bakal memainkan peranan penting apabila ia menghimpunkan pakar, penggubal dasar, penyelidik, profesional penjagaan kesihatan, organisasi kemasyarakatan dan rakan kongsi antarabangsa.
Ia menjadi sebuah platform untuk berkongsi amalan terbaik dan inovasi dalam pencegahan dan pengawalan NCD, mengukuhkan kerjasama seluruh kerajaan, sektor swasta dan masyarakat awam serta melibatkan masyarakat dan orang ramai, memastikan bahawa respons kolektif berkenaan adalah mampan dan inklusif.
Pameran yang diadakan, ulasnya lagi, akan mengetengahkan penyelesaian praktikal, teknologi dan inisiatif kemasyarakatan yang memperkasa orang ramai untuk hidup dengan lebih sihat serta mengurangkan risiko NCDs.
Dr Hajah Rafidah juga menggalakkan semua pihak yang berkepentingan teramsuk penyedia penjagaan kesihatan, pemimpin masyarakat, pendidik dan wakil media untuk berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan kerana bersama-sama, mereka dapat memupuk sebuah budaya kesihatan, di mana setiap individu mengambil tanggungjawab ke atas kesejahteraan mereka sambil juga mempunyai sokongan daripada persekitaran dan sistem kesihatan yang kukuh.

