Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha bersepadu tingkat keselamatan jalan raya

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) terus melaksanakan usaha bersepadu dengan agensi-agensi berkepentingan lain bagi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna.

    Beberapa inisiatif telah dijalankan seperti melaksanakan aktiviti kokurikulum keselamatan jalan raya di sekolah-sekolah bagi memupuk budaya keselamatan jalan raya bagi semua pengguna, membuat rangka kerja dan kerjasama dengan pihak badan-badan bukan kerajaan (NGO) dalam mengendalikan program atau aktiviti atau kempen ke arah meningkatkan lagi keselamatan jalan raya, menjalankan Program Penilaian Jalan Raya Antarabangsa (IRAP) Lebuh raya dan Jalan Utama, memberigakan Kod Lebuh raya edisi 2023 yang telah dikemasikini dan dilancarkan dengan edisi itu juga menekankan perihal tingkahlaku semasa memandu serta menjalankan kegiatan penguatkuasaan.

    “Pada tahun 2023, sebanyak 235 kegiatan penguatkuasaan melalui sekatan jalan raya dan 14 operasi sepadu telah dijalankan bersama pihak Pasukan Polis Diraja Brunei.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha ketika berucap di Majlis Perasmian Kempen Isi Selamat, Rasa Selamat yang berlangsung di Pusat Membeli-belah One City, hari ini.

    Beliau menyatakan terdapat penurunan jumlah kes maut akibat kemalangan jalan raya iaitu daripada 20 kes bagi 2022 kepada 14 kes bagi 2023. Manakala bagi kes mengakibatkan kecederaan disebabkan kemalangan jalan raya telah meningkat kepada 364 bagi 2023.

    Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary menyampaikan ucapan semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Tetamu kehormat semasa melawat salah sebuah petak pameran. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau juga menekankan, “Namun begitu, kita berpendapat setiap kemalangan adalah terlalu banyak.” Oleh itu, adalah disarankan semua pihak terutama pengguna jalan raya bekerjasama dalam memastikan keselamatan semua.

    Yang Berhormat Pengiran Dato seterusnya menyatakan penghargaan kepada pihak Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) dan pemilik stesen minyak atas usaha berterusan dalam komitmen melaksanakan kempen keselamatan supaya cita-cita menjadikan tapak stesen minyak bebas daripada insiden tercapai terutamanya dengan jumlah pemandu yang tinggi di Negara Brunei Darussalam.

    Beliau menyatakan penghargaan kepada Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam, MKKJR dan Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dalam usaha bersepadu perkongsian awam swasta dalam meningkatkan pembangunan negara untuk memupuk pihak pengguna yang berhemah, bertanggungjawab dan berdisiplin.

    “Dalam salah satu fokus untuk pembinaan kapasiti semua pekerja juga ialah amalan terbaik dalam intervensi awal.”

    “Saya juga difahamkan bahawa salah satu penambahbaikan yang ketara juga ialah pihak stesen membuat laporan dengan segera untuk insiden-insiden yang terjadi di stesen minyak kepada BSM. Ini adalah penting bukan sahaja di stesen minyak tetapi di mana-mana sektor.”

    Beliau percaya pemantauan keselamatan daripada semua pihak adalah mencerminkan asas prestasi semua organisasi.

    “Kempen ini berkesan dalam hubungan antara sektor awam dan swasta berdasarkan perkongsian elemen-elemen strategik negara yang membolehkan orang ramai bergerak menuju kepada penambahbaikan tingkah laku dengan menjadi pengguna yang berhemah.”

    Usaha bersepadu itu adalah sangat digalakkan dan ia adalah terbukti berkesan serta memberi impak positif kepada setiap industri, jelas Yang Berhormat Pengiran Dato.

    “Dengan ini, saya merasa terjamin jika pihak pengurusan stesen minyak pihak BSM dan pihak kerajaan bersama-sama dibarisan hadapan, sentiasa berdisiplin dalam memastikan orang ramai patuh kepada peraturan-peratuaran keselamatan negara berkaitan dengan bahan bakar api, mahupun juga ketika berkunjung ke stesen minyak.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda