BUACHET – Setiap pagi apabila Kan Rittiplang, 54, mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya sebelum keluar bekerja, beliau cukup maklum ucapan itu mungkin yang terakhir baginya.
Ayah kepada tiga orang anak ini dan bekas kapten Royal Thai Army’s Explosive, Ordnance and Disposal (EOD) unit, Kan adalah pemusnah bahan letupan dengan pengalaman lebih 30 tahun mengendalikan periuk api serta bahan letupan. Beliau tidak pernah gentar dengan bahaya yang sering dikaitkan dengan periuk api serta bahan letupan lain. “Untuk lebih 30 tahun hidup saya bergelumang dengan periuk api dan bahan letupan sebab itulah setiap kali saya keluar ke tempat kerja saya tak rasa takut. Perkara penting untuk pemusnah bahan letupan adalah untuk menyelesaikan tugas dan tak cuai walau sekali pun,” katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.
Menurut Kan, seorang pemusnah bahan letupan perlu bersikap tenang ketika menjalankan tugasnya supaya dapat menyelesaikan tugas tanpa sebarang kecederaan. Berbulan-bulan lamanya Kan dan rakan sejawatannya dari Thai Civilian Deminer Association (TDA) meredah hutan Buachet untuk mengesan periuk api serta bahan letupan, saki-baki peninggalan daripada konflik yang berlarutan puluhan tahun lamanya.
Banyak usaha perlu dibuat
Buachet terletak di timur laut Thailand berhampiran sempadan Thai-Kampuchea, kira-kira tujuh jam perjalanan dengan kenderaan dari Bangkok. Bertahun-tahun lamanya TDA dan Thai Mine Action Centre (TMAC) Pasukan Tentera Diraja Thai berganding bahu untuk membersihkan kawasan periuk api di seluruh Thailand supaya penduduk tempatan boleh menggunakan tanah itu untuk bercucuk-tanam.


Hutan Buachet di mana Kan sedang menjalankan tugasnya terletak kira-kira 300 meter dari sempadan Kampuchea. Kawasan hutan ini menjadi medan pertempuran pelbagai kumpulan bersenjata bertempur ketika konflik Indo-China memuncak. “Hutan Buachet dipenuhi ribuan periuk api dengan kebanyakannya dari jenis ‘anti-personnel mine’, sejenis periuk api yang kecil tetapi sukar untuk dikesan dan mempunyai bahan letupan yang cukup untuk mendatangkan kecederaan serius kepada mangsa,” katanya dengan tenang.
Di samping periuk api serta bahan letupan yang tidak meletup, Kan dan pasukannya juga perlu terus mengesan periuk api yang masih aktif di hutan itu. Meskipun Kan tidak pernah gentar dalam melaksanakan tugasnya, beberapa ahli pasukannya berasa agak cemas memandangkan mereka masih baru dengan tugas itu dan tidak mempunyai pengalaman yang luas.
Motivasi menjadi pemusnah bahan letupan
“Saya tahu beberapa orang petugas saya berasa cemas apabila mereka mengendalikan periuk api. Saya faham perasaan mereka kerana mereka masih baru dengan tugas ini,” katanya sambil menambah kata petugas baru mudah tertekan dan perlu dibimbing dan dipantau.
Tekanan boleh membuatkan seseorang pemusnah bom mudah hilang tumpuan dan boleh mengakibatkan kemalangan di medan periuk api, boleh mendatangkan kematian dan kecederaan, kata Kan. Seorang daripada petugas Kan, Kamphai Yaowasi, 44, berkata beliau membuat keputusan untuk menjadi pemusnah bom kerana insiden letupan periuk api yang meragut nyawa saudaranya.
Insiden yang berlaku berhampiran kuil Buddha, Preah Vihear, dekat dengan sempadan Thai-Kampuchea, meragut nyawa bapa saudara serta rakannya sementara seorang lagi cedera teruk apabila mereka terpijak periuk api sewaktu memburu. “Insiden yang tragis itu mendorong saya untuk memohon pekerjaan sebagai pemusnah bom ketika jawatan itu diiklankan pada 2004,” kata beliau dan menambah kata, beliau dan kumpulannya dilatih dengan pasukan EOD di khemah wilayah di Ratchaburi.

Bangga dengan kerja
Di sebalik bahaya serta risiko yang sering dikaitkan dengan kerja sebagai pemusnah bom, Kamphai berasa bangga dengan pekerjaannya kerana beliau boleh membantu penduduk tempatan terselamat daripada menjadi mangsa letupan. Beliau turut berkata meskipun gajinya kecil dan tidak setimpal dengan risiko kerja sebagai pemusnah bom, perkara itu tidak pernah mematahkan semangatnya kerana “hatinya semakin suka dengan pekerjaannya.”
Di sebalik kemungkinan beliau mungkin mati atau cedera setiap kali keluar bekerja, Kamphai berkata beliau tidak berhasrat untuk mencari pekerjaan lain. Ketika pengesan logamnya mengimbas tanah hutan untuk mengesan periuk api, Kamphai membetulkan jaket keselamatan EOD yang beratnya lebih daripada 10kg dan mendengar dengan teliti jika ada sebarang bunyi ‘beep’ daripada peralatan buatan Jerman itu.
“Sebarang periuk api mempunyai kepingan logam kecil, ” katanya dengan tenang, dan sejurus kemudian kedengaran bunyi ‘beep’ dengan kuatnya daripada jarak beberapa meter di depannya.
Perlu berhati-hati
Sebagai langkah berhati-hati, rakan sejawatannya mencangkung dan perlahan-lahan memulakan proses bermula dengan mengasingkan sebarang daun atau ranting berhampiran tempat yang mungkin mengandungi periuk api. Kamphai kemudiannya merodok batang besi tajam beberapa kali ke dalam tanah untuk menentukan kedudukan sebenar periuk api. Beliau kemudian menggunakan kedua-dua tangannya dan secara perlahan menggali tanah sebagai usaha untuk mengeluarkan objek berbentuk bulat yang sudah berpuluh tahun ditanam di dalam tanah. “Periuk api ‘anti-personal mine’ ini buatan Vietnam,” beliau berkata dengan yakin.
Memandangkan beliau lebih berpengalaman daripada rakan sejawatannya, dengan berhati-hati mengangkat periuk api itu yang beratnya tidak lebih daripada 200 gram dan mula menanggalkan batang logam peledak daripada bahan letupan itu, untuk menjadikkannya tidak lagi aktif. Ini diikuti dengan meletakkan periuk api yang sudah tidak lagi aktif ke dalam peti kayu sebelum pasukan lain datang mengambilnya untuk meletupkannya pada masa yang lain.
Periuk api itu adalah satu daripada periuk api yang Kamphai dan pasukannya berjaya temui di hutan Buachet dan ribuan lagi masih tertanam di kawasan itu dan hanya menunggu mangsa berikutnya. – Bernama