BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Sebagai wadah perbincangan isu dan sinergi cabaran kepenggunaan halal dalam kalangan ahli akademik dan pengamal industri, Osaka University telah bekerjasama dengan rakan strategiknya, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi mengadakan The Virtual International Symposium of Osaka University ASEAN Campus SDGs Co-creation Forum-Halal Innovation, baru-baru ini.
Menghubung kait Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan industri halal dirangka memberi manfaat kepada banyak pihak dalam jangka masa yang panjang, sehubungan itu, simposium berkenaan memfokuskan perbincangan kepenggunaan halal melalui SDG 3: Good Health and Well Being dan SDG 12: Responsible Consumption and Production.
Simposium secara maya berkenaan juga berobjektif untuk mengumpulkan panel pakar dalam bidang kepenggunaan halal di Negara Brunei Darussalam dan serantau. Di samping itu dapat mengenal pasti hala tuju halal innovation dan secara langsung meningkatkan kesedaran masyarakat awal berkenaan elemen halal dan thayyiban dalam kepenggunaan.
Program dimulakan dengan sesi pembentangan ucaptama oleh Profesor Yoshinori Sumimura dari Osaka University, Profesor Madya Dr Nazlida Muhamad dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Datin Hajah Norliza binti Dato Seri Setia Haji Mahalle dari UNISSA dan Dr Nur Rahman dari Pristine Pacific Australia.
Semasa sesi perbincangan, tiga orang ahli panel telah dijemput iaitu Profesor Madya Dr Shaizatulaqma Kamalul Ariffin dari Universiti Sains Malaysia; Profesor Madya Dr Yuliana Dwi Lestari dari Institut Teknologi Bandung Indonesia dan Profesor Madya Dr Zalina Zakaria dari Universiti Malaya.
Program yang berlangsung selama lebih kurang tiga jam itu telah memberi peluang kepada peserta memperoleh ilmu dan yang bermanfaat daripada pembentang dan ahli panel jemputan mengenai cabaran dari segi pelaksanaan dan perundangan kepenggunaan halal dan juga hala tuju industri halal secara komprehensif.
Secara keseluruhan, program itu berjaya membuka mata setiap peserta agar dapat menekankan aspek halal dan juga thayyiban dalam kehidupan seharian yang sangat signifikan bagi memberikan kesedaran tentang hak mendapatkan produk halal dan tanggungjawab memilih produk halal dalam kalangan pengguna Muslim.


