LANGKAWI, 12 NOV – Bilangan korban daripada bot migran yang karam di perairan Thailand-Malaysia meningkat melebihi 30 hari ini, namun pihak berkuasa berkata, mereka masih belum berputus asa untuk menemui mangsa yang terselamat pada hari kelima operasi pencarian.
Sehingga kini, empat belas orang telah diselamatkan selepas bot itu terbalik minggu lalu berhampiran pulau Tarutao, Thailand, ketika cuba menuju ke Malaysia.
Pihak berkuasa berkata, bot tersebut membawa kira-kira 70 migran tanpa dokumen, kebanyakannya daripada komuniti Rohingya yang ditindas di Myanmar.
Apabila operasi pencarian dan penyelamatan disambung semula hari ini di tengah laut bergelora dan hujan, Menteri Dalam Negeri Malaysia, Saifuddin Nasution Ismail berkata, “Fokus utama kami sekarang ialah mencari mereka yang masih hidup. Keutamaan ialah menyelamatkan nyawa dahulu, setiap nyawa amat berharga.”
Beliau berkata, pencarian akan diteruskan untuk tempoh yang munasabah, tanpa menetapkan garis masa tertentu.
Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini turut menyatakan, operasi dijangka berlangsung selama tujuh hari.
Manakala, pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi negeri utara Kedah dan Perlis, Romli Mustafa memberitahu AFP, pasukan yang terlibat di sekitar pulau peranginan Langkawi telah “menemui lima mayat lagi di perairan Malaysia” hari ini. – AFP


