Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha damai di Mindanao harus capai kejayaan – PM

    MANILA, 1 MAC – Usaha mencapai kedamaian di Mindanao, yang terletak di selatan Filipina, harus berjaya kerana kegagalannya mampu menjejaskan bukan hanya negara itu dan Malaysia tetapi juga seluruh rantau ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau memuji Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr kerana mengorak langkah yang besar dalam usaha memastikan proses damai di Mindanao mencapai kejayaan.

    “Adalah menjadi tugas kita (Malaysia) sebagai jiran yang baik untuk menyokong usaha ini, kita harus memanfaatkan semua kaedah dalam hubungan dua hala dan pelbagai hala untuk mencapainya.

    “Proses damai (di Mindanao) ini harus berjaya kerana ia bukan sahaja mampu menjejaskan Filipina dan Malaysia tetapi juga seluruh rantau ini,” katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Marcos di Istana Malacanang di sini.

    Anwar tiba di Manila hari ini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari, yang kelima ke negara ASEAN selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada akhir tahun lepas.

    Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ferdinand Marcos Jr berjabat tangan semasa mengadakan pertemuan rasmi di Istana Malacanang, kelmarin.- Bernama

    Terdahulu, Anwar diberikan sambutan rasmi di Istana Malacanang dan beliau turut memeriksa kawalan kehormat yang dibarisi 165 anggota Angkatan Tentera Filipina.

    Mengiringi Perdana Menteri semasa lawatan rasmi itu ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa anggota Kabinet beliau.

    Perdana Menteri juga berkata Malaysia kekal komited untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam proses damai di Mindanao.

    “Malaysia juga akan terus menawarkan bantuan kepada masyarakat Bangsamoro dan pelbagai program pembinaan keupayaan termasuk menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP),” katanya.

    Beliau berkata terdapat peluang besar yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara sekiranya usaha damai di Mindanao meraih kejayaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda