Oleh Nurdiyanah R. –
Tidak dapat dinafikan semua pelajar pasti ingin cemerlang dalam peperiksaan.
Kecemerlangan itu hanya dapat diraih sekiranya pelajar berusaha bersungguh-sungguh serta mempunyai iltizam dan keazaman yang tinggi untuk mencapainya.
Bak kata pepatah Melayu, ‘Genggam bara api biar sampai jadi arang’ yang membawa maksud mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar sehingga memperoleh kejayaan.
“Salah satu resipi untuk menggapai kejayaan itu adalah dengan belajar bersungguh-sungguh dan tidak lalai. Lalai merupakan satu punca kegagalan,” demikianlah perkongsian salah seorang pelajar Sekolah Menengah Katok (SMK) yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE ‘O’ Level bagi tahun 2022, Dayang Nur Darwisyah Hazirah @ Nur Haziqah binti Mily Mulyano semasa berkesempatan ditemui penulis pada Majlis Penganugerahan Graduan SMK BEST 2022 di dewan sekolah tersebut, sekitar awal Jun lalu.
Beliau yang kini menuntut di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), mengongsikan bahawa berdasarkan pengalaman peribadi yang pernah dilalui sebelumnya, sikap malas untuk membuat ulang kaji setiap topik yang dipelajari di sekolah akan menjadi penyebab kegagalan seorang pelajar.






Dayang Nur Darwisyah yang berjaya memperoleh 8 ‘O’ Level turut meluahkan ungkapan penuh kesyukuran di mana kejayaan yang dicapai itu sememangnya berkat dorongan daripada ibu bapa dan guru-guru selama ini yang banyak mendidik dirinya agar tidak mudah berputus asa.
“Jika orang lain boleh, kenapa kita tidak. Itu yang saya lakukan sepanjang belajar di SMK.
“Tiada rahsia untuk berjaya selain belajar secara konsisten, jangan mudah putus asa kerana kejayaan tidak akan datang bergolek,” ujarnya, sambil menambah cita-citanya adalah menjadi seorang doktor perubatan suatu hari nanti.
Peta minda dan nota ringkas ‘peneman setia’
Dengan memperoleh 8 ‘O’ Level sekali gus menerima Anugerah Pelajar Cemerlang bagi Peperiksaan Brunei Cambridge GCE ‘O’ Level bagi Tahun 2022 dan Anugerah Pelajar Beriltizam pada majlis berkenaan, Awang Mohammad Hamiz bin Sahairul berkesempatan mengongsikan antara amalan yang sering dilakukan sebelum menduduki kertas peperiksaan.
Beliau menggunakan teknik peta minda dan nota ringkas untuk membantunya lebih memahami pengisian dalam pembelajaran.
“Selain itu, saya bersama rakan-rakan dengan bimbingan para guru sering mengulang kaji koleksi soalan-soalan kertas peperiksaan tahun-tahun terdahulu. Hal berkenaan secara tidak langsung banyak melatih kami menjawab dengan efektif di samping menerokai soalan-soalan lazim dan juga kompleks.
“Semua ini amat penting diamalkan kerana ia mampu mengimbangi kefahaman secara menyeluruh dalam subjek-subjek yang kita pelajari,” kongsinya lanjut.
Awang Mohammad Hamiz yang kini melanjutkan pembelajaran di Politeknik Brunei berkata dengan rezeki penerimaan anugerah sedemikian, ia akan menjadi pencetus motivasi diri untuk meneruskan perjuangan dalam bidang pembelajaran dan kemahiran serta menimba pengalaman sebanyak mungkin di peringkat seterusnya.
Anugerah sebuah pengorbanan
Secara keseluruhannya, lebih 40 orang pelajar telah diraikan pada majlis yang telah dibahagikan kepada lima kategori khas.
Seramai 29 pelajar telah menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE O Level 2022 manakala enam pelajar menerima Anugerah Cemerlang dalam Mata Pelajaran Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE O Level 2022.
Manakala seramai 47 orang penerima Graduan SMK BEST termasuk penerima bagi Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan Tahun 11 Special Applied Programme 2022 (11BTEC) dan Anugerah Special Mention Program Pravokasional 2022.
Seorang pelajar menerima Anugerah Pelajar Cemerlang Keseluruhan sementara Anugerah Pelajar Beriltizam disampaikan kepada 14 orang pelajar.
Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian anugerah kepada 17 guru cemerlang yang mencapai sasaran dalam mata pelajaran Peperiksaan Brunei-Cambridge GCE O Level 2022 dan juga Peperiksaan SPE 2022.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis sekali gus menyempurnakan penyampaian anugerah kepada para pelajar ialah Pegawai Kluster I, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dayang Norahtina Seriyati binti Haji Omar. Kedatangan beliau dialu-alukan oleh Timbalan Pengetua Pentadbiran, SMK, Hajah Siti binti Pungut.
Dalam ucapan alu-aluan daripada Pengetua SMK, Dayang Penroose Saleha binti Haji Mohd Salleh yang diwakili oleh Hajah Siti antaranya berkata kejayaan dan kecemerlangan itu bukanlah satu destinasi tetapi satu perjalanan dan kembara yang tiada batas sempadan.
Tekannya, kecemerlangan hendaklah dijadikan budaya dan sebati dalam setiap aspek kehidupan dan jangan sekali-kali berhenti meskipun sudah menamatkan zaman persekolahan.
Beliau juga berkata selain para guru, peranan ibu bapa atau penjaga juga amat penting ke arah mencorakkan masa depan anak-anak di mana pencapaian mereka begitu berkait rapat dengan sokongan padu yang diberikan selama ini.
Hal ini kerana ia secara tidak langsung membantu meningkatkan semangat para pelajar untuk terus komited dan memiliki motivasi diri yang tinggi demi mencapai kecemerlangan.

