Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha dekati penduduk kampung

    KUALA BELAIT, 2 April – Dalam usahanya untuk mendekati penduduk kampung di negara ini, Jabatan Penerangan telah meneruskan lagi Program Sua Muka yang kali ini diadakan di kediaman Ketua Kampung Mumong, Mukim Kuala Belait, Haji Mohd Yusof bin Haji Dulamin, kelmarin.

    Rombongan Jabatan Penerangan yang diketuai oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Hajah Noorashidah binti Haji Aliomar dan disertai oleh pegawai dan kakitangan dari beberapa bahagian dan unit yang berkenaan telah dialu-alukan oleh Haji Mohd Yusof.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program berkenaan merupakan salah satu aktiviti berterusan Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri melalui Cawangan Penerangan Daerah Belait dan Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan dalam usaha untuk terus menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan.

    Ia merupakan salah satu program di bawah strategi kerja jabatan iaitu Komunikasi Bersemuka, yang dihasratkan untuk meningkatkan hubungan dua hala antara pihak kerajaan dan rakyat.

    Program itu merupakan platform untuk menyampaikan dasar dan maksud kerajaan demi memelihara perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat, ke arah cintakan agama, bangsa, raja dan negara.

    Warga Jabatan Penerangan ketika mengadakan lawatan ke kediaman Ketua Kampung Mumong.
    Warga Jabatan Penerangan ketika mengadakan lawatan ke kediaman Ketua Kampung Mumong.
    Salah seorang warga Jabatan Penerangan menunjukkan salah satu laman media sosial Jabatan Penerangan.
    Salah seorang warga Jabatan Penerangan menunjukkan salah satu laman media sosial Jabatan Penerangan.

    Ia juga untuk mendapatkan isu-isu dan pendapat, cadangan yang perlu diambil perhatian dan tindakan oleh pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan, memberigakan dan mempromosikan perkembangan dan kemajuan mukim dan kampung, terutamanya tempat dan produk untuk diperkenalkan kepada orang ramai, dalam dan luar negara melalui penulisan rencana Kenali Negara Kitani (KNK) untuk disiarkan di Pelita Brunei, selaras dengan peranan Jabatan Penerangan sebagai lidah, mata dan telinga kerajaan.

    Melalui program berkenaan, pihak jabatan memperkenalkan dan memberigakan versi digital Pelita Brunei iaitu e-Pelita Brunei dan Pelita Brunei online termasuk tatacara untuk memuat turun
    e-Pelita Brunei. Penggunaan bendera, banner dan bahan-bahan yang mempunyai kepentingan nasional serta bahan-bahan bacaan mengenai Wawasan Brunei 2035 dan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013.

    Manakala antara yang dikongsikan pihak majlis perundingan kampung (MPK) dan penduduk kampung adalah berkenaan prasarana dan kesejahteraan kampung.

    Dalam membantu penduduk kampung untuk mengetahui, memahami dan menghayati maklumat-maklumat penting lebih terperinci seperti Wawasan Brunei 2035, Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013, keusahawanan dan sebagainya, Program Masyarakat Bermaklumat juga dikongsikan kepada ahli MPK.

    Program tersebut adalah landasan Jabatan Penerangan untuk menyampaikan maklumat rasmi mengenai dasar dan maksud kerajaan agar semua anggota masyarakat memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan, bukan sahaja melalui penyampaian taklimat, sesi dialog dan malah juga melalui lawatan-lawatan mengikut kesesuaian.

    Dengan adanya program sebegini ia akan dapat memupuk semangat kekitaan dan bertanggungjawab terhadap negara serta menyemai hubungan yang erat antara kerajaan dengan rakyat.

    Pada era yang serba canggih ini, Jabatan Penerangan juga tidak ketinggalan untuk mempunyai laman media sosialnya. Penduduk negara ini boleh mengikuti Facebook Jabatan Penerangan (Jabatan Penerangan Jabatan Perdana Menteri), akaun Twitter  (@infodept_bn) dan akaun Instagram (@infodept.bn).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda