Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Usaha dan disiplin adalah faktor utama untuk mencapai kejayaan dan sentiasa proaktif akan menjadikan apa jua perkara berjalan lancar dan lebih efisien.
Tip ini dikongsikan oleh Awang Abdul Moe’ty bin Haji Abdul Samad, 30, yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Teknologi Maklumat dan penerima Anugerah Kecemerlangan Pengiran Setia Jaya dan Anugerah Kecemerlangan Tan Sri (Dr.) Lim Kok Wing pada Majlis Konvokesyen Kolej International Graduate Studies (IGS) di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong, hari ini,
Ketika ditemu bual Media Permata, beliau berkata, ibunya yang banyak mendorong dan menjaga beliau sejak awal perjalanan pembelajaran di samping ayahnya yang memberikan nasihat kehidupan untuk terus maju ke hadapan, memainkan peranan dalam kejayaannya.
“Insya-Allah jika dikurniakan rezeki saya akan meneruskan master degree. Tetapi setakat ini saya akan bekerja dan menyumbangkan kemahiran dan pengetahuan saya ditempat saya bekerja sekarang,” ujarnya.
Dalam kesempatan itu, beliau turut menasihatkan para belia yang masih menuntut agar tidak berputus asa, rancang kerja sekolah sebaiknya dan ulang kaji untuk peperiksaan lebih awal serta jadilah lebih proaktif.


Bagi Awangku Azeez Danial bin Pengiran Norasmadi pula, asas sokongan moral yang kuat benar-benar membantu beliau semasa situasi-situasi yang banyak tekanan.
“Saya merancang dan berharap untuk mendapatkan pendapatan yang stabil agar saya dapat memperkembangkan industri perfileman lagi,” ujar beliau yang menerima Sijil Kemahiran dalam Produksi Media Elektronik dan berkata, bahawa para pensyarah telah banyak mendorong dan memberi sokongan tanpa jemu kepadanya.
Graduan berusia 20 tahun itu juga menasihatkan para belia agar tidak mengikut sembarangan nasihat kerana cara setiap orang berfikir adalah berlainan.
Sementara itu, Haji Saiful Azmain bin Haji Awang Mohammad, 27, yang menerima Diploma dalam Rekaan Animasi dan Multimedia pula berkata, dorongan daripada keluarga dan teman seperjuangan di kolej adalah antara punca kejayaan beliau begitu juga dengan penat lelah pensyarah-pensyarah yang tidak pernah jemu memberikan tunjuk ajar.


“Untuk mencapai kejayaan ini, saya sentiasa berusaha dan berfikiran positif menempuhi cabaran yang dihadapi dan sentiasa membuat latihan untuk memperbaiki kelemahan saya,” tambah beliau yang merancang untuk meneruskan pelajaran ke peringkat seterusnya dan juga bekerja dalam bidang teknologi kreatif.
“Kepada para belia yang masih belajar, jangan putus asa dan sentiasa berusaha dan tetap berdoa memohon kepada Allah S.W.T,” nasihatnya kepada para belia di luar sana.
Penerima Diploma dalam Pengiklanan, Multimedia dan Penyiaran, Dayang Shazilena Arena binti Mohd Haffiz, 22, turut melahirkan rasa bersyukurnya yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T kerana diberikan peluang untuk memperluaskan lagi pengetahuan beliau.
“Juga tidak dilupakan kepada ibu dan bapa serta keluarga dan pensyarah-pensyarah saya yang banyak membantu saya dalam apa jua permasalahan yang dihadapi,” jelasnya.
Beliau turut menasihatkan para belia yang masih menuntut agar perbanyakan membuat penyelidikan dan tidak melengah-lengahkan kerja sekolah yang diberikan serta kurangkan menjangka malah banyakkan bertanya.