LIBREVILLE – Pernah mencuba untuk melekatkan kolar pengesanan GPS pada haiwan yang mempunyai berat lima tan?
Ahli pemuliharaan di Gabon mula menggunakan peranti tersebut pada gajah; mengesan dan memberi ubat, sebelum memasang alat berteknologi tinggi pada haiwan itu dalam usaha untuk membanteras pemburuan haram dan penyeludupan gading. Namun ia bukanlah satu tugas yang mudah.
Setiap operasi memerlukan kira-kira lima hingga tujuh orang, termasuklah seorang doktor haiwan, peninjau dan pengesan jejak, untuk memimpin kumpulan itu mengharungi hutan tebal dan mencari haiwan yang bersifat pemalu itu.
“Mereka perlu memasang satu atau dua kolar GPS setiap hari,” kata Jean-Baptiste Squarcini, setiausaha agung agensi taman negara Gabon (ANPN).
“Ia sangat berbahaya di mana ahli kumpulan kami sering ‘diserang’ oleh gajah.”
Sebaik sahaja seekor gajah ditemui, daktor haiwan akan bergerak ke hadapan dan menggunakan senapang angin yang berisikan damak etorphine: opioid separuh sintetik adalah lebih 1,000 kali lebih kuat berbanding morfin.
“Dos yang terlalu kuat boleh membunuh gajah. Manakala jika terlalu lemah, gajah tersebut boleh melarikan diri. Anda perlu melakukannya dengan tepat,” kata Squarcini.
“Apabila terkena sasaran, anda perlu bersedia untuk mengelak sebarang kemungkinan.”
Selepas gajah tersebut tidak sedarkan diri, terbaring di atas tanah, ahli pasukan akan menjalankan pemeriksaan kesihatan dan mengambil beberapa sampel sebelum kolar hitam GPS gergasi dipasang.
Seluruh proses ini mengambil masa kira-kira 10 minit. Selepas proses itu selesai, ahli pasukan akan berlindung, kadang-kadang memanjat pokok, sebelum haiwan itu bangun dan sedar daripada kesan antidot.
“Haiwan itu sudah sedarkan diri, sedikit terkejut dan terhuyung-hayang,” kata Squarcini sambil tersenyum.
Para doktor haiwan Afrika Selatan telah membantu warga tempatan untuk memasangkan kolar GPS pada 20 ekor gajah pada bulan Disember lalu di taman Mwagna dan Ivindo, timur laut Gabon.
Tidak jauh dari taman tersebut, Taman Minkebe akan menyertai ‘kempen kolar’ pada bulan ini.
Selama 45 hari, pasukan ANPN yang diketuai oleh ahli pemuliharaan Afrika Selatan, Peter Morkel, akan mengembara hutan-hutan yang ada di sana yang meliputi sekitar 20 kilometer sehari.
Pengembaraan tersebut termasuklah memantau gajah-gajah yang sudah ditandai – termasuklah Junior, Boniface, Syndie, Kate dan Zara – yang terpapar dalam peta pusat operasi ANPN di ibu negara Libreville.



Skrin besar menunjukkan input satelit langsung daripada kolar Sistem Penentududukan Sejagat (GPS), yang juga mempamerkan tanda amaran jika haiwan itu berada terlalu dekat dengan kawasan perumahan atau tidak bergerak dalam jangka masa yang lama dan mungkin berada dalam bahaya.
“Ia membolehkan kami untuk melihat sama ada ia bergerak ke zon bahaya, tempat-tempat di mana kita kerap menjumpai bangkai dan kami tahu ia adalah daripada pemburu-pemburu haram,” jelas Parfait Ndong Ondo, dari salah satu pusat perhatian.
Seekor gajah yang dikenali sebagai ‘Patrice’, sedang dipantau dengan teliti apabila ia cuba merayau keluar dari taman negara Ivindo dan bergerak ke arah sebuah landasan kereta api.
“Ia boleh memusnahkan tanaman atau menyimpang ke kawasan di mana adanya pemburu aktif,” kata Squarcini.
“Kami tahu bahawa kami perlu campur tangan.”
Renjer lapangan telah dihantar ke sana untuk mencari ‘Patrice’ dan membawanya kembali ke tempat selamat. Hutan tebal hujan tropika di taman negara Minkebe di utara Gabon berada di barisan depan dalam memerangi pemburuan haram.
Di sempadan Cameroon dan Congo, kawasan berukuran seperti Belgium telah menjadi sasaran geng-geng Afrika tengah yang ingin mendapat keuntungan secara cepat dari emas putih Afrika itu.
Gabon merasa berbangga dengan mempunyai 45,000 ekor gajah sedekad yang lalu, populasi terbesar di Afrika tengah, tetapi Squarcini menyalahkan pemburu kerana telah membunuh 15,000 daripadanya.
Jumlah bilangan gajah hutan yang begitu turun mendadak memperlihatkan pembunuhan gajah-gajah di merata-rata tempat.
Menurut survei pertama pan-Afrika bagi gajah savana pada tahun 2016, Banci gajah ‘Great Elephant’, jumlah gajah savana dianggarkan berjumlah sekitar 352,000, jatuh dari 1.3 juta pada tahun 1979. – AFP