Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha galak pelajar ceburi ICT

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Dengan projek pemprograman bertajuk ‘Animals’, sekumpulan pelajar dari Sekolah Rendah Binturan, Tutong telah memenangi Pertandingan ICT bersempena ‘The Tech Kids Camp 2018’ yang telah diadakan oleh Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI).

    Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh wakil pelajar dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SUAMPRIPAD), dengan tajuk projek ‘Subtraction and Addition’; tempat ketiga dimenangi oleh wakil pelajar dari Sekolah Rendah Muhammad Alam, Seria dengan projek bertajuk ‘Healthy Food Group’ manakala itu, pasukan dari Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) memenangi anugerah ‘Best Presenter’.

    Penyampaian hadiah kepada para pemenang pada majlis penutup yang diadakan di Dewan Seri Kerna, AITI, Anggerek Desa, hari ini, telah disempurnakan oleh Pemangku Ketua Eksekutif AITI, Haji Jailani bin Haji Buntar selaku tetamu kehormat majlis.

    ‘Tech Kids Camp 2018’ merupakan projek kerjasama antara AITI, Kementerian Pendidikan dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

    Ia merupakan bengkel enam hari bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, yang memperkenalkan mereka kepada asas-asas pemprograman.

    Pertandingan ICT bersempena dengan ‘The Tech Kids Camp 2018’ telah dimenangi oleh Sekolah Rendah Binturan, Tutong.

    Antara objektif kem berkenaan adalah bagi menjana semangat dalam ICT dan menggalakkan pembelajaran ICT pada awal usia, pada masa yang sama, menyediakan platform bagi inovasi dengan membolehkan pelajar mengalami ICT dengan cara yang jelas dan menyeronokkan.

    Dengan adanya alat pemprograman hari ini, program dan aktiviti boleh diwujudkan sebagai sebahagian daripada aktiviti ICT sekolah untuk memberi inspirasi dan memberi para belia sebuah platform untuk menjadi inovatif.

    Pendedahan awal kepada ICT membantu meningkatkan kesedaran tentang apa yang boleh ditawarkan oleh ICT sebagai kerjaya.

    Kerjaya dalam ICT adalah pilihan yang menarik dan bermanfaat untuk rakyat Brunei. Ini dapat ditanamkan pada usia muda ketika orang muda Brunei, rakan-rakan dan ibu bapa mereka terdedah kepada kepelbagaian yang ICT dapat tawarkan untuk membolehkan mereka membuat pilihan bijak dalam pendidikan dan hala tuju kerjaya mereka pada masa akan datang.

    Di pertandingan ICT itu, pelajar telah ditugaskan untuk membangunkan projek menggunakan alat pemprograman mudah yang dinamakan ‘Scratch’ dengan tema ‘STEM’ (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

    Pasukan yang menang bakal mewakili negara dalam ‘ASEAN Cyberkids Camp 2018’ yang akan datang, di mana Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bermula 4 hingga 6 September depan.

    Seramai 48 pelajar dan 14 guru dari 12 sekolah kerajaan dan swasta di seluruh negara telah mengambil bahagian dalam bengkel yang diadakan dengan bantuan dan sokongan daripada Kementerian Pendidikan dan UTB.

    AITI telah menjadi tuan rumah program ‘The Tech Kids Camp’ sejak beberapa tahun kebelakangan dan ini menandakan kali keempat program tersebut diadakan. Para pelajar yang terlibat dalam perkhemahan berkenaan mempelajari nilai-nilai berharga termasuk kreativiti, inovasi, kerja berpasukan dan kemahiran pembentangan ketika mereka menyampaikan projek mereka kepada panel hakim pada hari terakhir kem.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda