GAZA, 9 MAC – Kumpulan pejuang Palestin, Hamas, kelmarin mengesahkan bahawa usaha pengantaraan yang diketuai Mesir dan Qatar masih diteruskan bagi memuktamadkan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata dengan Israel serta memulakan rundingan fasa kedua.
“Para pengantara dari Mesir dan Qatar terus berusaha memastikan pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata dan memulakan rundingan fasa kedua, dengan petanda positif mula kelihatan,” lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan jurucakap Hamas, Abdel Latif al-Qanou.
“Kami menegaskan kesediaan untuk terlibat dalam rundingan fasa kedua dengan cara yang memenuhi tuntutan rakyat kami dan kami menyeru supaya usaha dipergiat bagi menyalurkan bantuan kepada Gaza serta menamatkan kepungan ke atas rakyat kami yang menderita,” kata al-Qanou.
Beliau berkata delegasi kepimpinan Hamas yang berada di Kaherah sejak Jumaat lalu sedang membincangkan mekanisme pelaksanaan rundingan fasa kedua, memastikan komitmen Israel terhadapnya serta pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak Arab.
Pada Selasa, Sidang Kemuncak tergempar Arab mengenai Palestin di Kaherah dalam kenyataan akhirnya menegaskan bahawa pelaksanaan penuh perjanjian gencatan senjata adalah keutamaan tertinggi. Sidang itu menekankan bahawa ia perlu membawa kepada penamatan sepenuhnya serangan terhadap Gaza dan pengunduran total Israel dari wilayah tersebut.
Sidang kemuncak itu turut menerima pakai pelan lima tahun untuk pembinaan semula Gaza, memastikan tiada pemindahan penduduk Palestin, dengan peruntukan bajet AS$53 bilion.
Bagaimanapun, Israel dan Amerika Syarikat (AS) menolak rancangan itu serta bertegas dengan kerangka yang dicadangkan oleh Presiden AS Donald Trump.
Perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah dikuatkuasakan di Gaza sejak 19 Januari yang menghentikan perang ganas Israel yang telah meragut lebih 48,400 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta menyebabkan wilayah itu musnah teruk. – Bernama/Anadolu
