Oleh Salawati Haji Yahya
Siri pertama sempena HPPPN
Negara Brunei Darussalam masih belum mencapai tahap 100 peratus keupayaan sara diri, namun bagi sebahagian sektor dalam pertanian dan agrimakanan, pencapaian negara dalam sektor ini agak memberangsangkan.
Bagi keluaran kasar sektor pertanian secara keseluruhannya sehingga Julai 2020, negara mencatatkan nilai keluaran berjumlah $244.63 juta dengan pecahan sumbangan sektor penternakan sebanyak $144.94 juta, tanaman $31.05 juta dan agrimakanan sebanyak $68.63 juta.
Manakala berdasarkan data pada tahun 2019, negara kita sudah pun mencapai hampir 100 peratus sara diri dalam bekalan ayam pedaging dan 100 peratus sara diri bagi telur ayam.
Secara umumnya, negara mencapai sekitar 88 peratus sara diri bagi bekalan sayur-sayuran tropika, 40 peratus sara diri bagi bekalan buah-buahan jenis tropika dan sekitar 5 peratus sara diri bagi padi (beras) negara.
Pencapaian tersebut berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) yang diterima di sini baru-baru ini, sempena meraikan Hari Peladang, Petani, Penternak dan Nelayan (HPPPN) yang disambut pada 1 November setiap tahun.


Sambutan adalah bagi mengiktiraf dan mengenang jasa para peladang, petani, penternak dan nelayan dalam peranan mereka selaku penjana makanan bagi negara ini.
Sehubungan itu, dalam usaha meningkatkan keluaran sektor pertanian dan perikanan, jabatan tersebut akan terus komited memperkasakan sektor tersebut selaras dengan visi dan misi kementerian selain bergiat aktif melaksanakan dan juga memperkenalkan pelbagai inisiatif dan strategi bagi meningkatkan keluaran dan produktiviti ke arah menyumbang kepada pertumbuhan KDNK Negara Brunei Darussalam.
Inisiatif dan strategi ini juga termasuk meningkatkan dan menarik lebih ramai penglibatan anak-anak tempatan khususnya belia untuk mempelopori perusahaan-perusahaan yang berkaitan dengan industri sumber-sumber utama yang pada masa ini penglibatan mereka masih di tahap rendah.
Selain itu, beberapa inisiatif dan strategi telah dilaksanakan dan dirancang yang mana ini termasuk menggalakkan penggunaan teknologi dan mengamalkan perladangan baik yang akan mengubah landskap pertanian dan perikanan negara dalam jangka masa panjang. Dengan cara ini, sektor pertanian akan terus menjadi sektor pen-
ting bagi Negara Brunei Darussalam dan akan terus berkembang sebagai salah satu sektor ekonomi utama negara dan juga penyumbang kepada pertumbuhan dan kepelbagaian ekonomi, demi mencapai Wawasan Brunei 2035.
Projek rintis dan pengembangan kawasan
Dalam usaha ke arah memacu pertumbuhan keluaran sektor pertanian di negara ini, salah satu inisiatif yang dilaksanakan ialah dengan menawarkan tapak-tapak pertanian kepada peladang yang berminat untuk menerokai bidang pertanian, termasuk golongan belia, melalui inisiatif Projek Rintis.
Projek Rintis yang diperkenalkan pada tahun 2016 berbentuk percubaan untuk tempoh dua tahun yang sehingga kini mencatatkan seramai 86 pengusaha telah ditawarkan tapak-tapak pertanian dan melibatkan pembukaan kawasan dianggarkan seluas 496 hektar.
Di antara pengusaha-pengusaha tersebut, seramai 24 pengusaha merupakan golongan belia.
Selain Projek Rintis, Program Pengembangan Kawasan juga merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan untuk meningkatkan lagi keluaran daripada pengusaha-pengusaha yang sedia ada dan ini termasuk pengusaha-pengusaha di bawah Projek Rintis.
Program ini adalah berbentuk pemberian tanah tambahan kepada peladang-peladang yang berjaya mengusahakan serta memajukan sepenuhnya tanah-tanah pertanian yang telah ditawarkan kepada mereka sebelumnya.
Setakat ini seramai 28 pengusaha telah ditawarkan tapak tambahan di bawah Program Pengembangan ini de-ngan melibatkan kawasan secara keseluruhannya sekitar 280 hektar. Daripada seramai 28 pengusaha, enam pengusaha adalah belia.
Projek yang diusahakan
Projek-projek lain yang sedang diusahakan untuk memajukan dan mengembangkan lagi bidang pertanian di negara ini termasuklah inisiatif Perladangan Berkontrak dan Pemadanan Pemasaran (Market Matching).
Inisiatif ini bertujuan untuk mempermudah akses pasaran dan memastikan peladang-peladang akan dapat menjual hasil ladang mereka melalui kontrak jangka panjang dengan pengusaha-pengusaha utama, pasar raya, pemborong, pengendali restoran, perkhidmatan penyajian makanan dan hotel-hotel tempatan di negara ini.
Dengan adanya akses pasaran ini, ianya diharap akan dapat menggalakkan para peladang untuk mengembang majukan aktiviti perusahaan dan perladangan masing-masing, dan seterusnya menyumbang ke arah peningkatan keluaran dari sektor pertanian.
Selain itu, Program Pasar Kitani yang buat pertama kalinya dilaksanakan pada tahun ini merupakan satu usaha atau kaedah bagi menyediakan kemudahan tempat berniaga alternatif kepada peladang atau pengusaha tempatan untuk mempromosi hasil ladang mereka secara jualan langsung kepada pengguna pada setiap hujung minggu.
Di samping itu, inisiatif ini juga bertujuan untuk dijadikan sebagai pusat pengedaran dan value chain bagi mengimbangi komoditi import serta platform bagi pengusaha berinteraksi dengan orang awam bagi mempromosikan hasil segar dari ladang masing-masing dan seterusnya memperluaskan rangkaian pemasaran.
Secara purata, lebih kurang 60 pengusaha dan peladang menyertai jualan di Pasar Kitani setiap minggu, yang mana 15 pengusaha adalah golongan belia dan setakat ini, sambutan orang ramai amat menggalakkan dengan kehadiran pengunjung sekitar 2,000 setiap minggu.
Penanaman padi secara komersial
Ke arah usaha meningkatkan pengeluaran padi dan beras dalam negara, setakat ini pencapaian keluaran padi negara sehingga bulan Ogos tahun 2020 adalah berjumlah $3.68 juta (2,302.99 tan metrik) berbanding $3.39 juta (2,119.44 tan metrik) pada tempoh yang sama pada tahun 2019.
Selain itu, inisiatif-inisiatif lain untuk meningkatkan produktiviti padi ialah melalui penggunaan varieti padi berhasil tinggi yang berpotensi menghasilkan padi sebanyak 8 tan metrik sehektar semusim dan dijangka bermula pada penghujung tahun ini.
KSSUP melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan juga akan melaksanakan projek kajian bagi mengenal pasti varieti-varieti padi lain yang berhasil tinggi sehingga 12 tan metrik sehektar semusim melalui kerjasama penyelidikan dengan Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) di bawah inisiatif ASEAN dan Yuan Longping High-Tech Agriculture Co. Ltd. dari Republik Rakyat China.
Pada masa ini, benih-benih untuk kajian ASEAN RiceNet (IRRI) telah diterima pada bulan September 2020 dan akan mula ditanam sekitar bulan November 2020 (Musim Utama 2020/2021) di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan dan KKP Lot Sengkuang.
Selain itu, KSSUP juga bekerjasama dengan kementerian-kementerian dan agensi berkenaan lain khususnya bagi menarik minat para belia untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dan agrimakanan serta menjadikannya sebagai kerjaya utama mereka.
Antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan adalah seperti Program Pendedahan Pertanian dan Perladangan dan Program Belia Berpadi yang merupakan anjuran bersama Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dengan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.
Di samping itu, terdapat juga kolaborasi dengan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Kampus Agro-Teknologi dalam mengemas kini dan menyelaras kesesuaian bidang dan isi kandungan mata pelajaran di bidang pertanian, agribisnes dan kejuruteraan pertanian supaya dapat menghasilkan penuntut-penuntut yang berkaliber, kreatif dan inovatif bagi memenuhi pasaran pekerjaan dan keperluan industri