YINCHUAN – Dalam persekitaran desa Xihaigu, sebuah kawasan yang merentasi bahagian tengah dan selatan wilayah autonomi Ningxia Hui, barat laut China, Li Junpeng sering melihat potensi memberangsangkan pelajarnya apabila mereka terlibat dalam perlawanan bola sepak yang bertenaga di padang sekolah.
Bekas pengetua Sekolah Rendah Maihe di Bandar Wuzhong, tengah Ningxia, Li yang berusia 37 tahun ialah seorang guru luar bandar di Xihaigu yang pernah dianggap tidak boleh didiami. Beliau memainkan peranan penting dalam kehidupan pelajar-pelajar mudanya.
Sekolah berasrama penuh ini mempunyai lebih 800 pelajar. Sambil menjalankan pengajaran harian, setiap kali beliau mempunyai masa pada hujung minggu, Li, bersama rakan-rakannya, pergi membuat lawatan ke rumah-rumah.
Rumah pelajar yang paling jauh terletak lebih 10 kilometer dari sekolah. Sepanjang tempoh tiga tahun perkhid-matannya, beliau telah membuat lebih 200 lawatan ke rumah-rumah, yang memerlukan penggantian tayar motosikalnya sebanyak lapan kali.
Beliau berpegang teguh pada kepercayaan bahawa lawatan ke rumah-rumah memainkan peranan penting untuk memahami sepenuhnya keadaan keluarga pelajar.




Terharu dengan kisah-kisah mereka berulang kali, beliau tetap tekad dalam komitmennya untuk menyediakan pendidikan berkualiti kepada setiap kanak-kanak.
“Guru luar bandar bukan sahaja menjadi mentor kepada kanak-kanak tetapi juga menjadi teladan dan panduan mereka.
“Bagi kanak-kanak yang ketinggalan, khususnya, guru luar bandar sering mengambil alih peranan ibu bapa secara signifikan,” kata Li.
Kerjayanya digambarkan dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi kepada pelajarnya, penglibatan sepanjang masa dalam kehidupan mereka dan kaedah pengajaran inovatif yang terbukti sangat berkesan dalam mendidik kanak-kanak luar bandar.
Namun, beliau tidak selalunya mengidamkan untuk menjadi seorang guru luar bandar. Seperti kebanyakan kanak-kanak di luar bandar China, Li memulakan perjalanan untuk meneroka kehidupan di luar rumah desanya, didorong oleh kepercayaan bahawa ‘pendidikan adalah jalan keluar daripada kesusahan’.
Selama bertahun-tahun, beliau menceburi pelbagai bidang, termasuk kewangan, pembinaan dan pemprosesan logam.
Bagaimanapun, semasa beliau bekerja di sebuah kilang, kenyataan jujur seorang rakan sekerja mencuit hatinya.
Rakan sekerjanya mengeluh kerana disebabkan oleh kekurangan pendidikan formal semasa muda, sukar bagi pekerja untuk memahami lukisan teknikal dan mengendalikan mesin, yang mengakibatkan penolakan kerja berulang kali.
Pandangan yang memilukan ini sangat mempengaruhi Li. Beliau merasakan panggilan yang kuat untuk kembali ke kampung halamannya dan menggunakan pendidikannya sebagai pemangkin untuk mengubah masa depan anak-anak tempatan.
Dengan itu, bermulalah perjalanan baharu untuk Li. Pada tahun 2012, beliau telah diambil bekerja melalui program guru khas, menyandang peranan sebagai pendidik luar bandar di Sekolah Rendah Tengah Liuquan di Bandar Wuzhong.
Kisah luar biasa Li berubah menjadi ketara apabila, selepas lima tahun menunjukkan kehebatannya dalam mengajar dan pentadbiran sebagai guru sekolah, beliau telah dilantik sebagai pengetua Sekolah Rendah Maihe pada tahun 2017.
Tanggungjawab ini dianggap sebagai salah satu tugas yang paling mencabar bagi guru-guru tempatan.
“Ketika saya pertama kali datang ke sekolah, saya mendapati bahawa setiap 13 guru bertanggungjawab untuk menjaga lebih 20 kanak-kanak. Infrastruktur sekolah semuanya dalam keadaan berselerak dan terabai.
“Dengan menggunakan pengetahuan saya dalam kerja mekanikal, saya segera mengatur kakitangan sekolah dan pelajar-pelajar untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan infrastruktur termasuk membaiki tandas dan pendawaian elektrik, memotong rumput di kawasan sekeliling, mengecat dinding dan meratakan taman permainan,” katanya.
Dalam kalangan 243 pelajarnya, terdapat banyak ‘kanak-kanak yang ketinggalan’, yang ibu bapanya telah pergi selama bertahun-tahun, bekerja di lokasi yang jauh, sekali gus meninggalkan mereka dengan datuk nenek mereka.
“Untuk mengajar pelajar-pelajar ini, seseorang mesti memainkan peranan sebagai guru dan ibu bapa. Tidak seperti guru bandar, guru luar bandar bukan sahaja menjadi pendidik kepada anak-anak kampung, tetapi mereka juga menjadi pembimbing bagi menunjukkan kepada mereka cara untuk menjalani kehidupan pada masa depan,” kata Li.
Li melahirkan rasa gembira menyaksikan penambahbaikan yang ketara dalam kemudahan pendidikan di Sekolah Rendah Maihe sejak beberapa tahun kebelakangan ini, satu
transformasi yang disebabkan oleh sokongan padu daripada kerajaan tempatan.
Sekolah itu menubuhkan pasukan bola sepak, bola keranjang dan tarian naga pertamanya, serta memperkenalkan lapan kelab kokurikulum seperti lompat tali dan deklamasi sastera klasik. Inisiatif-inisiatif ini telah sangat membangkitkan minat kanak-kanak.
“Pengalaman awal saya telah mengajar saya bagaimana pengetahuan bertindak sebagai satu kuasa yang boleh mengubah nasib seseorang.
“Seseorang mesti mendapat pendidikan yang baik pada peringkat awal,” katanya, sambil menambah bahawa beliau komited untuk meningkatkan kemahiran mengajarnya dan mengutamakan pengajaran peribadi serta kesejahteraan emosi para pelajarnya. – Xinhua

