Friday, February 7, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha gigih mempamerkan transformasi ekonomi Malaysia

    Oleh Shakir Husain

     

    KUALA LUMPUR – Sebagai sebuah negara perdagangan utama, Malaysia perlu mampu memberi penerangan yang jelas mengenai sejarah ekonominya bukan sahaja kepada rakyatnya tetapi juga orang asing.

    Salah satu tempat terbaik untuk langkah ini ialah Muzium Perdagangan yang terletak di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Jalan Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lumpur.

    Saya berkesempatan berkunjung ke bangunan berkenaan sewaktu bercuti singkat sempena Hari Deepavali baru-baru ini di samping melawat beberapa tempat menarik yang lain di negara ini.

    Kalau hendak diikutkan sejarah transformasi ekonomi Malaysia memang panjang, bermula daripada pusat perdagangan pelbagai hasil sumber asli termasuk bijih timah dan getah kepada industri pengilangan moden seperti yang ada pada hari ini.

    Semuanya ini dipamerkan di Muzium Perdagangan MATRADE.

    Kalau hendak diikutkan sejarah transformasi ekonomi Malaysia memang panjang, bermula daripada pusat perdagangan pelbagai hasil sumber asli termasuk bijih timah dan getah kepada industri pengilangan moden seperti yang ada pada hari ini.
    Transformasi ekonomi Malaysia berkembang sehingga ke hari ini.

    Kedudukan eksport yang tinggi dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara membuatkan peranan MATRADE sebagai agensi promosi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menjadikan negara ini berdaya saing menjadi begitu penting.

    Tidak cukup dengan hanya menghadiri mesyuarat di menara yang tersergam dan menyertai pameran antarabangsa untuk mengetahui kisah silam pembangunan ekonomi Malaysia.

    Menghayati sejarah silam 

    Muzium Perdagangan ini adalah antara tempat yang terbaik untuk benar-benar menghayati sejarah silam ini.

    Saya sendiri begitu kagum dengan setiap bahan maklumat yang dipamerkan termasuk potret pedagang-pedagang Arab, India, Cina dan Melayu. Masing-masing mempunyai kelebihan dalam barangan yang didagangkan ketika itu.

    Perniagaan tukar barang pada masa Malaysia dikenali sebagai Malaya adalah antara masyarakat di kawasan  pedalaman dengan penduduk di tepi pantai. Barangan yang menjadi pertukaran ialah hasil laut dengan barangan yang diperolehi dari hutan. Kemudian muncul perdagangan maritim yang membawa barangan logam.

    Pelbagai saudagar Eropah dan Asia menggunakan kapal laut untuk membawa barangan di samping menunjukkan kuasa hebat mereka. Bukan sahaja perdagangan berkembang tetapi melarat kepada penjajahan, perperangan serta perebutan kuasa.

    Perdagangan rempah-ratus sering dikaitkan dengan pengaruh penjajah yang membentuk politik dunia. Malaysia tidak terkecuali daripada menjadi mangsa penjajahan dan berikutnya berlaku pembanjiran orang asing ke negara ini.

    Muzium Perdagangan yang terletak di Menara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia  (MATRADE).

    Maklumat mengenai industri perlombongan bijih timah, minyak sawit dan getah adalah penting untuk memahami lonjakan Malaysia sebagai pusat pengilangan.

    Bermula dengan gantian import, fasa selepas kemerdekaan Malaysia menekankan pula industri berteknologi tinggi dan yang berorientasikan perkhidmatan. Kalau diteliti carta urutan perkembangan ekonomi Malaysia, kita dapat lihat betapa negara ini mampu menyesuaikan dirinya dengan perubahan yang berlaku di dunia.

    Peranan Melaka

    Muzium Perdagangan itu turut mempamerkan catatan peranan Melaka dalam sejarah moden Malaysia sama ada sebagai pusat penerimaan barang dagangan Tanah Melayu atau dalam pembentukan Kesultanan Melayu-Islam.

    “Melaka, pada ketika zaman kegemilangannya begitu tersohor sehinggakan menjadi rebutan kuasa Eropah yang mahu menguasai perdagangan rempah-ratus,” demikian menurut satu catatan.

    Sama ada sebagai penempatan pelaburan, hab maritim atau tanah jajahan Portugis, Melaka menyaksikan pelbagai peristiwa besar. Bagi mereka yang datang ke Kuala Lumpur untuk urusan perniagaan, Muzium Perdagangan ini tempat terbaik untuk memahami sejarah perkembangan ekonomi negara ini.

    Melihatkan kepada pelbagai kemudahan yang ada, terutamanya di pusat pameran terbesar Malaysia yang terletak di Kompleks ini, MATRADE perlu menarik ramai pengunjung ke muzium yang meskipun kecil tetapi mengagumkan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda