Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha Inter sasar Fabregas sebagai jurulatih terbantut

    ROM, 6 JUN – Usaha Inter Milan untuk mendapatkan Cesc Fabregas sebagai pengganti Simone Inzaghi terbantut kelmarin apabila Como menolak untuk memberi kebenaran kepada pasukan itu bercakap dengan jurulatih mereka.

    Inzaghi meninggalkan pasukan itu Selasa lalu berikutan Inter dibelasah 5-0 oleh Paris Saint-Germain dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara.

    Laporan kemudiannya mengaitkan Inter dengan perpindahan bagi bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Fabregas.

    “Kami menyampaikan keengganan kami secara terus kepada presiden Inter, yang menerimanya dengan baik di samping persefahaman di antara kelab yang saling menghargai,” kata Como dalam satu kenyataan.

    “Atas sebab ini, kami menganggap khabar angin berterusan tentang minat mereka terhadap jurulatih kami sebagai tidak pasti,” tambahnya.

    Fabregas, 38, yang mempunyai kerjaya kelab yang cemerlang dengan Arsenal, Barcelona dan Chelsea, mengambil alih tugas Julai lalu sebagai jurulatih Como, kelab di mana dia menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak pada 2023.

    Di bawah bimbingannya, pasukan yang meningkat naik itu menduduki tempat ke-10 dalam Serie A, sering dipuji kerana permainan mereka yang menarik.

    Susulan pengumuman pemergian Inzaghi, yang secara rasmi menyertai kelab Saudi Al-Hilal kelmarin, Inter telah menjadikan Fabregas sebagai pilihan mereka.

    Menurut media Itali, mereka kini menumpukan perhatian kepada Cristian Chivu, bekas pemain Inter, yang kini mengendalikan Parma. – AFP

    Reaksi Fabregas semasa perlawanan bola sepak di Stadium Giuseppe-Sinigaglia di Como pada 23 Mei. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda