Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OKT – Gelombang kedua penularan COVID-19 di negara ini telah memberi impak kepada sektor industri, perkhidmatan dan pertanian.
Dalam usaha untuk memajukan sektor berkenaan, kerajaan telah melakukan beberapa strategi dan usaha berterusan untuk menjana ekonomi negara yang berdaya tahan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah berkata, dengan langkah-langkah strategi yang diambil seperti Operasi Pulih dan meningkatkan lagi peratus vaksinasi kepada orang ramai, ia akan dapat membantu untuk memikirkan cara membuka kembali ekonomi negara.
Untuk jangka pendek ini, beliau berharap agar sektor industri seperti minyak dan gas akan dapat kembali seperti sebelum COVID-19.
Beliau menyuarakan harapannya itu semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Mengulas mengenai sektor pertanian yang perlu diberi tumpuan, beliau berkata bahawa semasa pandemik ini, keselamatan makanan adalah salah satu isu penting bagi negara dan untuk masa depan, oleh itu pihak kerajaan memang ada strategi untuk memajukan sektor berkenaan.
“Dengan usaha-usaha dan kerjasama ini, kita akan dapat memajukan sektor industri, perkhidmatan dan pertanian bagi tujuan keselamatan makanan seterusnya dapat membangun ekonomi negara kembali,” tambahnya.