Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Usaha Jepun lindungi keaslian Shine Muscat

    UEDA – Varieti anggur yang dipetik Yuki Nakamura ketika matahari terbit di ladangnya mengambil masa 33 tahun bagi saintis untuk menghasilkannya dan ia boleh dijual pada harga 100 yen seikat di gedung serbaneka Tokyo.

    Tetapi pada pandangan petani dan pegawai Jepun, Shine Muscat yang berwarna hijau zamrud, merupakan salah satu daripada pelbagai jenis buah yang dicipta oleh Jepun, tetapi telah ‘dicuri’ oleh China dan Korea Selatan.

    “Kehebatan Shine Muscat ialah setiap dari buah anggur itu boleh menjadi besar, ia mudah tumbuh dan manis tetapi jumlahnya tidak terlalu banyak,” kata Nakamura.

    Lelaki berusia 35 tahun yang menganggap anggur itu sebagai ‘rakan kongsinya’ berkata, dia mahu mengeksport anggur tersebut ke tempat di mana buah-buahan Jepun popular seperti Hong Kong dan Thailand.

    Tetapi yang terdapat di rak dan dalam talian adalah merupakan anggur tiruan yang ditanam oleh China dan Korea Selatan yang hampir serupa dengan anggur Shine Muscat, tetapi lebih murah harganya.

    Shine Muscat yang berwarna hijau zamrud dan berukuran lebih besar daripada anggur biasa merupakan anggur yang berasal dari Jepun. Ia sangat manis dan mempunyai rasa anggur yang lebih kuat. – AFP
    Gambar AFP
    Lazimnya, Shine Muscat berharga dua atau tiga kali ganda lebih tinggi daripada harga anggur yang dihasilkan oleh China dan Korea Selatan. – AFP

    Menurut kerajaan Jepun, China dan Korea Selatan mengambil anak benih Shine Muscat dari Jepun kemudian mencantumkannya pada pokok anggur tempatan untuk menghasilkan buah anggur yang kelihatan serupa sama ada dari segi bentuk bahkan juga rasanya.

    “Para pelanggan pasti ‘mengambil kira harga-harga itu’,” kata Sau, seorang penjual buah di pasar Hong Kong di mana Shine Muscat Jepun sering kali berharga dua atau tiga kali ganda berbanding dengan buah anggur China, walaupun dengan nilai yen Jepun yang rendah. Itu menjadikan import Jepun lebih murah. “Tetapi awda boleh merasai perbezaannya,” tambah Sau.

    “Rasa buah Shine Muscat Jepun sangat menyegarkan, manis dan mempunyai rasa anggur yang lebih kuat. Manakala anggur tiruan China, manis, tetapi kurang rasa anggur.”

    Peniru China terhadap Shine Muscat ditemui pada 2016, iaitu 10 tahun selepas pendaftaran buah tersebut di Jepun, setelah Pertubuhan Penyelidikan Pertanian dan Makanan Kebangsaan (NARO) menyiasat sampelnya.

    Tetapi Jepun tidak boleh menghalang China atau Korea Selatan daripada menanam buah itu kerana Tokyo secara naif mengatakan gagal mendaftarkan buah tersebut di luar negara dalam tempoh enam tahun yang diperlukan di bawah peraturan antarabangsa.

    Itu disahkan oleh Kementerian Pertanian Korea Selatan, ‘keadaan semasa membenarkan anggur Shine Muscat ditanam dan diedarkan di sini tanpa keperluan royalti.’

    Jepun sendiri tidak boleh mengeksport anggur ke China kerana peraturan kuarantin Beijing, jadi penanam China secara teknikal tidak mempergunakan jualan Jepun.

    “Tetapi kami menjangkakan bayaran pelesenan melebihi 10 bilion yen setahun, sekiranya kami memperoleh hak di China,” kata Pengarah Perlindungan Tanda Dagangan Tumbuhan di Kementerian Pertanian Jepun, Yasunori Ebihara.

    Kementerian itu mengakui Jepun juga gagal mendaftarkan varieti baharu strawberi, ceri dan sitrus asal Jepun yang pernah ditemui di China, Korea Selatan dan juga Australia.

    Ketua Unit Penyelidikan Varieti Buah NARO, Takehiko Shimada, berkata kerja penelitian mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan varieti baharu yang sesuai untuk dijual di kedai.

    ‘Ia adalah perkara biasa’ jika ia mengambil masa lebih 30 tahun untuk menghasilkan Shine Muscat, katanya.

    Organisasi penyelidikan telah mula menggunakan analisis DNA untuk cuba menangkap penciplak varieti buah-buahan baru.

    “Terdapat label genom yang hanya ada pada Shine Muscat, jadi kami boleh menyemak sama ada (anggur) mempunyai label sedemikian dan seterusnya dapat menentukan sama ada ia adalah Shine Muscat,” kata Shimada.

    Jepun mengetatkan peraturannya pada 2020, melarang benih dan anak benih berdaftar dibawa ke luar negara.

    Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga 10 juta yen.

    Jepun juga sedang berusaha melindungi penanam domestik dengan lebih baik daripada peniru asing. Nakamura gembira kerana Shine Muscat terkenal di seluruh Asia.

    “Tetapi saya tidak suka apabila melihat sesuatu yang diusahakan dan dihasilkan oleh Jepun dengan mudah dibawa ke luar negara dan dijual di sana.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...