Friday, April 18, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha kembalikan serangga unik ke habitat asal

    PRAGUE, 9 APRIL – Zoo Prague kini telah menyertai usaha antarabangsa bagi memastikan kelangsungan spesies serangga unik yang telah dianggap pupus lebih daripada 80 tahun lalu.
     
    Zoo tersebut merupakan salah satu daripada enam institusi di seluruh dunia yang berjaya mencipta persekitaran hidup bagi spesies serangga tidak bersayap terbesar, iaitu serangga ranting Pulau Lord Howe, yang boleh membesar sehingga 15 sentimeter panjang.
     
    Serangga ini turut dipamerkan kepada orang awam dan ia merupakan satu peluang yang jarang berlaku sebelum ini dan hanya ditawarkan di London dan juga San Diego.
     
    Serangga tersebut, juga dikenali sebagai Phasmid Pulau Lord Howe, berasal dari sebuah kepulauan terpencil di Laut Tasman berhampiran dengan Australia.
     
    Kepulauan yang tidak berpenghuni itu ditemui pada tahun 1778. Populasi serangga tersebut dipercayai pupus apabila tikus-tikus yang tiba bersama kapal terkandas pada tahun 1918 telah memusnahkan habitat mereka.
     
    Pendaki gunung menemui petunjuk kewujudan semula spesies serangga itu di sebuah pulau berbatu kira-kira 23 kilometer dari Pulau Lord Howe pada 1960. Kehadiran spesimen hidup disahkan pada 2001, sekali gus membawa kepada usaha pembiakan di Australia, satu langkah yang dianggap penting memandangkan spesies itu dikategorikan sebagai amat terancam.
     
    “Serangga itu terpaksa berusaha keras untuk terus hidup selama 100 tahun di tempat yang begitu mencabar seperti Balls Pyramid dan kini memerlukan penjagaan amat teliti untuk hidup dalam kurungan,” kata Vojtech Vit, penjaga pakar di Zoo Prague, kelmarin.
     
    Zoo tersebut membina bangunan berhawa dingin lengkap dengan peralatan nyahkuman di pintu masuk untuk melindungi serangga yang mudah terdedah kepada jangkitan bakteria dan virus, serta memperoleh kelulusan pihak berkuasa Australia bagi tujuan pembiakan.
     
    Program pembiakan itu bermatlamat untuk mengembalikan serangga tersebut ke habitat asal mereka di Pulau Lord Howe selepas populasi tikus di sana berjaya dihapuskan pada tahun 2019. – AP
    Seorang pakar mempamerkan serangga kayu Lord Howe Island atau ‘udang pokok’ di Zoo Prague, Republik Czech. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda